Monreal (kiri) ke Sociedad manakala Elneny ke Turki. FOTO REUTERS
Monreal (kiri) ke Sociedad manakala Elneny ke Turki. FOTO REUTERS
Reuters

PEMAIN bek kiri Arsenal, Nacho Monreal meninggalkan Arsenal selepas enam tahun untuk menyertai kelab La Liga, Real Sociedad.

Rakan sepasukannya yang juga pemain tengah Mesir, Mohamed Elneny menyertai kelab Turki, Besiktas untuk pinjaman selama semusim, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu, hari ini.

Monreal, 33, menyertai Arsenal daripada Malaga pada Januari 2013 sebelum membuat 251 penampilan untuk kelab dengan menjaringkan 10 gol.

“Ketika bersama kami, Nacho beraksi selaku pemain bek kiri seperti asalnya dan bek tengah.

Dia memenangi tiga Piala FA, tiga Perisai Komuniti dan memainkan peranan besar pada final Liga Europa musim lalu,” menurut kenyataan dari Arsenal.

“Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada Nacho atas sumbangan kepada kelab dan setiap orang di Arsenal mengucapkan selamat berjaya kepadanya pada masa depan.”

Monreal yang memulakan karier bersama Osasuna, akan diperkenalkan sebagai pemain Real Sociedad pada Isnin ini.

Dia menandatangani kontrak selama dua tahun.

Elneny yang menyertai Arsenal pada 2016, tidak mendapat tempat dalam skuad sejak Unai Emery mengambil alih sebagai jurulatih musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 10:07 PM