GARETH SOUTHGATE
GARETH SOUTHGATE
AFP

LONDON: Selepas mengharungi beberapa kegagalan pada kejohanan utama, perjalanan menakjubkan England ke separuh akhir Piala Dunia 2018 mengembalikan keyakinan dalam kalangan peminatnya.

Justeru, kunjungan Sepanyol ke Wembley bagi kempen Liga Negara Eropah, awal pagi Ahad ini dilihat sebagai ujian awal terhadap faktor ‘hebat’ yang dicetuskan skuad muda kendalian Gareth Southgate.

Kemenangan ke atas Sepanyol yang mengharungi kempen Piala Dunia sukar selepas tersingkir pada peringkat 16 terbaik kepada tuan rumah, Russia Julai lalu juga akan menjadi bukti revolusi Southgate berjalan dengan lancar.

Begitupun, jika tiga kekalahan berturut-turut diraih, ia akan memberi peluang buat pengkritik yang bertegas England masih belum dapat memiliki formula apabila menentang pasukan bertaraf dunia.

Di Russia, skuad kendalian Southgate tewas dua kali kepada Belgium dan sekali kepada naib juara, Croatia dan hanya menewaskan Colombia menerusi penentuan penalti.

Namun keputusan di Russia tetap boleh dipuji tatkala England mara ke separuh akhir pertama dalam tempoh 28 tahun dengan Southgate menegaskan beliau sedang menyediakan asas yang kukuh demi kejayaan masa depan.

Menjadikan aksi Euro 2020 sebagai sasaran utama, Southgate pasti terdesak untuk mengekalkan momentum dan pertembungan kali ke-26 antara England dan Sepanyol bagi kempen Liga Negara Eropah tidak dilabel sebagai latihan, malah akan dijadikan sebagai aksi kompetitif.

Jadi, bukan sesuatu yang mengejutkan jika kesebelasan utamanya bagi perlawanan itu hampir menyerupai skuad yang bertemu Croatia pada separuh akhir di Russia.

“Kami hanya mempunyai 20 perlawanan bermula sekarang dan Kejuaraan Eropah (Euro) jadi kami tidak mahu membuang masa dengan mencari perkara yang baharu tapi untuk membenamkan prinsip yang akan bersama kami untuk tempoh masa yang lama,” kata Southgate.

Pada Piala Dunia, Southgate meletakkan kepercayaan kepada beberapa pemain muda dan antara yang paling menyerlah adalah penjaga gol Jordan Pickford, pertahanan Harry Maguire dan Kieran Trippier.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 11:11 AM