KANE (depan) ketika sesi latihan England di St George's Park. FOTO AFP
KANE (depan) ketika sesi latihan England di St George's Park. FOTO AFP
AFP

London: Harry Kane bakal menjadi nadi kepada impian England menamatkan kemarau kejuaraan 55 tahun ketika skuad Gareth Southgate memulakan kempen Euro 2020 dengan misi membalas dendam ke atas Croatia malam esok.

England tidak pernah menjulang trofi utama sejak Piala Dunia 1966 dan salah satu kekalahan paling mengecewakan ialah ketika tewas kepada Croatia pada separuh akhir Piala Dunia di Russia tiga tahun lalu.

Tetapi England kembali bangkit di bawah kendalian bekas pertahanan antarabangsa itu dan percaya mereka mampu mengulangi kejayaan Bobby Moore dan rakan-rakan di tempat sendiri lebih setengah abad yang lalu.

Southgate membentuk salah satu antara skuad termuda dan dinamik di kejohanan itu dengan gabungan Phil Foden, Mason Mount dan Jude Bellingham sekali gus menandakan era baru Three Lions.

Dengan England beraksi semua perlawanan Kumpulan D di Wembley yang turut menjadi venue saingan 16 terakhir, separuh akhir dan final menyajikan peluang terbaik buat anak buah Southgate mencipta kejayaan.

Untuk melakukannya, kapten Kane wajib kekal cergas bagi memacukan semua 'silindernya'.

Kane muncul penjaring terbanyak Liga Perdana untuk kali ketiga selepas meledak 23 gol musim lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu berada di kemuncak prestasi dan bercita-cita besar. Dia mendedahkan mahu berpindah ke kelab lebih gagah selepas Tottenham terus ketandusan trofi sejak 2008.

Southgate menegaskan hasrat peribadi Kane itu mampu menyuntik motivasi buat dirinya dalam kempen Euro 2020.

"Saya fikir fokusnya kepada pasukan. Anugerah peribadi dan pencapaian sudah tentu sangat istimewa dan dia berhak mendapatkannya,'' kata Southgate.

Kane muncul pemenang Kasut Emas pada Piala Dunia 2018 di Russia selepas menjaringkan enam gol buat England.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 9:51 AM