JURULATIH England, Gareth Southgate. FOTO Reuters
JURULATIH England, Gareth Southgate. FOTO Reuters
Reuters

REPINO: England tampil ke Piala Dunia dengan tidak diletakkan harapan tinggi oleh penyokong mereka dan ramai yang memperkatakan pasukan kendalian Gareth Southgate itu dibentuk untuk masa depan.

Namun, selepas melangkah ke suku akhir bertemu Sweden esok, Southgate berkata, pasukan sedia ada mungkin tidak akan memperoleh peluang terbaik lagi untuk menjulang Piala Dunia selain edisi kali ini.

England dibarisi pemain yang paling kurang berpengalaman pada Piala Dunia kali ini dengan secara logiknya mereka dijangka hanya mampu mencapai prestasi sebenar di saingan Euro 2020 atau Piala Dunia di Qatar 2022, namun Southgate yakin adalah satu kesilapan besar untuk meramalkan sedemikian.

“Meskipun pasukan ini akan lebih baik dalam tempoh dua tahun lagi dengan meraih lebih banyak pengalaman, tapi kemungkinan mereka juga bakal berdepan pelbagai masalah seperti kecederaan dan peluang seperti ini sukar untuk dicapai lagi,” katanya.

Sekiranya England berjaya menewaskan Sweden, mereka akan bertemu pemenang satu lagi suku akhir antara tuan rumah, Russia dan Croatia pada pertembungan separuh akhir.

Kemenangan dramatik ke atas Colombia menerusi penentuan sepakan penalti di pusingan kedua, mencetuskan fenomena di England dan ia amat dihargai oleh Southgate.

“Adalah satu penghormatan dapat menggembirakan semua orang. Kami mahu meneruskan situasi positif ini,” kata Southgate.

England kemungkinan besar akan beraksi tanpa penyerang, Jamie Vardy kerana cedera dengan tahap kecederaan Ashley Young serta Kyle Walker pula tidak terlalu serius. – Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 6:48 PM