SOUTHGATE (kanan) memerhatikan sesi latihan anak buahnya sebelum bertemu Colombia. -Foto AFP
SOUTHGATE (kanan) memerhatikan sesi latihan anak buahnya sebelum bertemu Colombia. -Foto AFP
AFP

MOSCOW: England mencari kemenangan pertama pada peringkat kalah mati sejak 12 tahun awal pagi ini, berdepan Colombia ketika undian Piala Dunia nampak menarik buat pasukan yang diketuai Harry Kane.

Dalam kejohanan penuh kejutan, skuad muda England kendalian Gareth Southgate menjadi satu-satunya bekas juara masih berada dalam kelompok bawahan selepas kejutan penyingkiran Sepanyol.

Jika England melepasi skuad kendalian Jose Pekerman yang mengemudi pasukan Amerika Selatan itu di Moscow, mereka akan berdepan juara satu lagi pertembungan 16 pasukan terakhir antara Sweden dan Switzerland, sebelum potensi bertemu Russia atau Croatia pada separuh akhir.

Brazil dan Perancis sudah melepasi undian berkenaan, namun skuad disertai Lionel Messi, Argentina dan Cristiano Ronaldo, Portugal tersingkir.

Pasukan tangga ketiga, Belgium mengelak untuk menyertai mereka yang tersingkir awal pagi tadi apabila mencipta kebangkitan antara terhebat di Piala Dunia dengan menewaskan Jepun 3-2 pada masa kecederaan.

Mereka menjadi pasukan pertama ketinggalan dua gol dan menang saingan kalah mati Piala Dunia, sejak Jerman Barat bangkit selepas ketinggalan 2-0 berdepan England pada 1970 dan menang 3-2 selepas tambahan masa.

Walaupun sikap optimis semakin meningkat mengenai peluang England di Russia, pengurus mereka, Southgate memberi amaran buat pasukannya supaya tidak terlalu memikir ke depan.

England yang menang Piala Dunia pada 1966, memiliki rekod buruk dalam kejohanan utama dan tidak pernah saingan kalah mati sejak menewaskan Ecuador pada Piala Dunia 2006.

“Saya rasa kami berada dalam posisi ini banyak kali,” kata Southgate.

“Tak berguna buat kami memikirkan mengenai apa yang berlaku selepas perlawanan esok. Kami memikirkan mengenai persembahan esok dan selepas itu mungkin ia akan memihak kami,”

Southgate menggunakan kejutan kekalahan England di tangan pasukan kerdil, Iceland dalam kelompok 16 terakhir Euro 2016 sebagai amaran supaya tidak terbawa-bawa dengan kemenangan sebelum ini.

England menjaringkan lapan gol dalam dua perlawanan pembukaan, menewaskan Tunisia 2-1 menerusi jaringan lewat Kane, sebelum membelasah Panama 6-1.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 11:45 AM