PENYERANG Croatia, Andrej Kramaric. FOTO Reuters
PENYERANG Croatia, Andrej Kramaric. FOTO Reuters
Reuters

MOSCOW: Penyerang Croatia, Andrej Kramaric berkata, dia akan terus memperkatakan mengenai kejayaan kempen Piala Dunia pasukannya untuk tahun-tahun akan datang.

Menurut Kramaric, tekanan dihadapi pasukannya hilang selepas Croatia melepasi kumpulan 16 pasukan terbaik dan kini mereka beraksi di separuh akhir bertemu England, kali pertama sejak 1998.

"Tekanan paling besar ialah apabila kami menentang Denmark di peringkat 16 pasukan terbaik tetapi sekarang kami menikmati apa yang berlaku. Ketika perlawanan bermula terdapat tekanan tetapi kami hakikatnya kami sudah berada di separuh akhir.

"Menjadi impian untuk Croatia mara ke final dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai hasrat itu,” katanya.

Kramaric yang bermain untuk kelab Bundesliga, Hoffenheim menghabiskan setahun bersama kelab Inggeris, Leicester City yang muncul juara liga tetapi dia gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

"Beraksi di England memang seronok, kelab pertama saya di luar  Croatia dan semuanya adalah baharu. Saya kurang beraksi kerana prestasi kelab ketika itu sangat bagus.”

"Saya boleh bercakap mengenai pengalaman di England berhari lamanya tetapi untuk Piala Dunia saya boleh bercakap bertahun lamanya,” kata Kramaric.

"England salah satu pasukan pilihan kerana mereka memiliki ramai pemain muda yang dahagakan kejayaan walaupun belum bertaraf bintang antarabangsa," kata Kramaric.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 4:41 AM