KRAMATIC ketika hadir pada sidang media menjelang pertemuan penentuan tempat ketiga antara Croatia dengan Maghribi. FOTO AFP
KRAMATIC ketika hadir pada sidang media menjelang pertemuan penentuan tempat ketiga antara Croatia dengan Maghribi. FOTO AFP
Agensi

Doha: Peluang untuk menjuarai Piala Dunia sudah berakhir buat Croatia dan Maghribi tetapi 'keabadian' menjadi pertaruhan apabila kedua dua pasukan bertemu untuk penentuan tempat ketiga, malam esok.

Penyerang Croatia, Andrej Kramaric menolak anggapan aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa itu sebagai perlawanan yang sia-sia.

"Saya rasa kalau anda bertanya soalan yang sama kepada pemain Maghribi, mereka juga tidak akan berpandangan seperti itu.

"Mereka berjuang untuk diri mereka kerana jika anda memenangi pingat di Piala Dunia, anda akan jadi wira yang abadi di negara anda. Itulah perkara sama yang akan kami lakukan," kata Kramaric.

Croatia mara ke final pada edisi 2018 namun dikecewakan Argentina 3-0 pada aksi separuh akhir edisi kali ini.

"Lapan daripada kami (skuad edisi 2018) faham mengenai perasaan memenangi pingat di Piala Dunia tetapi ada ramai lagi pemain yang belum merasainya dan mahukan pengalaman itu.

"Ini kerana kemenangan ini akan terus diingati sepanjang hidup mereka," katanya.

Bagi Maghribi, tanpa mengira apa juga keputusan, mereka kekal memegang status sebagai pasukan Piala Dunia terhebat dalam sejarah benua Afrika.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 11:33 AM