AKSI Modric (kanan) pada perlawanan hari ini. FOTO EPA
AKSI Modric (kanan) pada perlawanan hari ini. FOTO EPA
Reuters

Copenhagen: Gol sumbangan Mario Pasalic pada separuh masa kedua menyaksikan Croatia berjaya meraih kemenangan 1-0 ketika bertemu Denmark di tempat lawan pada aksi Kumpulan A1 Liga Negara-Negara, hari ini.

Perancang Croatia, Luka Modric yang masuk sebagai pemain gantian menjadi watak penting kepada kejayaan pasukan pelawat.

Buat kali pertama, Denmark yang berjaya melangkah sehingga ke separuh akhir saingan Euro 2020, mencicirkan mata tetapi Croatia berhak meraih kemenangan selepas mempamerkan aksi mantap terutama di benteng pertahanan selain aksi cemerlang Modric.

Peluang terbaik Denmark hadir pada separuh masa pertama menerusi Andreas Cornelius yang merembat deras menerusi kaki kirinya namun dinafikan oleh penjaga gol lawan.

Kemasukan Modric pada separuh masa kedua mengubah rentak permainan pasukan pelawat dan sering mengancam kubu lawan sehingga memaksa penjaga gol, Kasper Schmeichel bekerja keras mengawal gawangnya.

Pertahanan Denmak, Joachim Andersen pula bernasib baik kerana hanya dilayangkan kad kuning selepas mengasari Andrej Kramaric.

Sepakan percuma Modric daripada insiden itu berjaya ditepis ke belakang sebelum dia sekali mengambil sepakan sudut yang menyaksikan Pasalic berjaya menjaringkan gol menewaskan Schmeichel pada minit ke-69.

Meskipun tewas, Denmark masih mengungguli kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan dan akan menanti kunjungan Austria, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 7:38 AM