Beregu Campuran Negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying. FOTO File NSTP
Beregu Campuran Negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berharap untuk mengulangi kejayaan luar biasa mereka pada Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil hampir lima tahun lalu.

Impian pasangan itu untuk meraih pingat emas terkubur selepas ditewaskan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dalam straight set, 14-21, 12-21 di Riocentro.

Peng Soon, 33, menegaskan tiada apa yang mustahil dalam Olimpik Tokyo dan berharap dapat melepasi hingga ke final sebelum mengakhiri karier dalam bidang badminton.

"Saya berharap kami dapat berjuang hingga ke final," katanya.

Oleh kerana ini penampilan kedua mereka dan terakhir di Sukan Olimpik, Liu Ying, 31, berjanji untuk mempamerkan aksi menakjubkan yang akan dikenang oleh semua peminat badminton di Malaysia dan seluruh dunia.

Liu Ying, yang dinamakan seorang daripada dua pembawa bendera Malaysia di Tokyo, membayangkan mereka akan menghadapi cabaran lebih getir berbanding di Rio dan menyeru rakyat Malaysia menyokong mereka kerana ia dapat menyuntik semangat mereka untuk beraksi dengan lebih baik di Tokyo nanti.

Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

Peng Soon-Liu Ying kini menduduki tempat ketujuh dengan mengumpul 70,420 mata dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Liu Ying berharap untuk terus memperbaiki kedudukan ranking dunia mereka pada kejohanan akan datang sebelum beraksi di Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 5:40 PM