GANDINGAN Peng Soon (atas), Liu Ying tak gentar cabaran Seluruh England.
GANDINGAN Peng Soon (atas), Liu Ying tak gentar cabaran Seluruh England.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad beregu campuran negara yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia sedia untuk menggempur pada kejohanan Seluruh England apabila Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turun ke gelanggang hari ini.

Menurut jurulatih beregu campuran negara Chin Eei Hui, walaupun Liu Ying masih belum 100 peratus cergas namun aksi di Terbuka Jerman minggu lalu memberikan kelegaan buatnya.

“Sebenarnya mereka beraksi amat baik di Jerman dan saya berpuas hati walaupun sedar Liu Ying baru sembuh daripada kecederaan lutut,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, tujuan utama menghantar Peng Soon-Liu Ying beraksi di Terbuka Jerman adalah bagi membolehkan kedua-dua pemain itu dapat menghayati aksi kejohanan sebenar selepas tiga bulan berehat.

“Sudah beberapa bulan kedua-duanya tidak beraksi bersama dan saya harap mereka mampu melakukan sesuatu luar biasa termasuk membalas dendam ke atas Zhang Nan-Li Yinhui apabila kalah di suku akhir di Terbuka Jerman.

“Di Seluruh England mereka akan berdepan pasangan China itu pada pusingan kedua dan saya harap kali ini kemenangan berpihak kepada Peng Soon-Liu Ying,” ujar Eei Hui.

Bekas pemain beregu wanita negara itu juga berharap prestasi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu lebih baik di Seluruh England berbanding di Terbuka Jerman.

Bagi Kian Meng-Pei Jing pula, Eei Hui mengharapkan aksi mantap di separuh akhir Terbuka Jerman mampu dikekalkan untuk Seluruh England.

“Jujurnya saya memang jangka mereka akan ke separuh akhir kerana memperoleh undian yang bagus tapi aksi mantap di separuh akhir memang di luar jangkaan walaupun mereka tumpas kepada pasangan China, Lu Kai Huang Yaqiong (21-16, 16-21, 17-21).

“Saya gembira dengan prestasi semasa mereka dan ini penampilan sulung Kian Meng di Seluruh England, jadi saya harap dia mampu menyerap tekanan,” kata Eei Hui yang mahu anak buahnya itu menganggap setiap perlawanan seperti aksi final.

Peng Soon-Liu Ying yang menghuni ranking kelapan dunia akan berdepan Nico Ruponen-Amanda Hogstrom dari Sweden manakala beregu kesembilan dunia, Kian Meng-Pei Jing menentang Tang Chun Man-Tse Ying Suet (Hong Kong).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 8:06 AM