SHEVON (kiri) dan Soniia menewaskan gandingan Ghana Grace Atipaka-Gifty Mensah 21-8,21-4 dalam aksi beregu wanita. FOTO/REUTERS
SHEVON (kiri) dan Soniia menewaskan gandingan Ghana Grace Atipaka-Gifty Mensah 21-8,21-4 dalam aksi beregu wanita. FOTO/REUTERS
Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid di Gold Coast

AKSI badminton pusingan kedua membabitkan acara perseorangan dan beregu di Sukan Komanwel 2018 menyaksikan skuad negara cuba bangkit untuk melupakan kekalahan kepada India dalam aksi final berpasukan campuran tempoh hari.

Soniia Cheah-Shevon Lai menewaskan gandingan Ghana Grace Atipaka-Gifty Mensah 21-8,21-4 dalam aksi beregu wanita.

Menurut Soniia, kemenangan dalam acara beregu wanita itu menggembirakannya apatah lagi ia bukan acara yang biasa disertainya.

“Acara beregu bukan acara utama kami kerana saya beraksi dalam acara perseorangan manakala Shevon pula pemain beregu campuran,” kata Soniia.

Apa yang lebih penting baginya adalah menangani isu kecederaan buku lali bagi membolehkannya mara ke peringkat berikutnya.

“Pakar fisioterapi melakukan yang terbaik untuk merawat buku lali saya yang bengkak. Kami melakukan apa yang boleh untuk mara ke perlawanan berikutnya.”

Namun, Shevon mengakui tidak kekok beraksi dengan Soniia memandangkan mereka pernah digandingkan bersama sewaktu remaja.

Gandingan Goh Soon Huat-Shevon pula menewaskan pasangan adik beradik Ciaran dan Sinead Chambers dari Ireland Utara 21-6,21-12 dalam aksi beregu campuran.

Datuk Lee Chong Wei pula tidak berdepan masalah menundukkan Benjamin Li dari Isle of Man dengan kemenangan 21-6,21-3.

Soniia sekali lagi cemerlang dalam acara perseorangan apabila menewaskan Rachael Darrragh dari Ireland Utara 21-5, 21-12.

Menutup tirai aksi skuad negara adalah beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan Georges Paul-Aurelie Allet dari Mauritius 21-15,21-11.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 9:28 PM