Kuala Lumpur: Keputusan berani dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila memutuskan untuk meletakkan pemain perseorangan negara Goh Soon Huat (gambar) beraksi dalam acara beregu campuran.

Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan itu dilakukan berikutan aksi kurang memberangsangkan Soon Huat sepanjang bermain dalam acara perseorangan.

Jelas Frost, dengan perubahan itu, beliau berharap Soon Huat yang digandingkan dengan Shevon Lai Jemie akan dapat menempatkan diri mereka di kedudukan 20 terbaik dunia.

“Adalah agak sukar untuk Soon Huat berada dalam kelompok ranking 20 terbaik dunia jika beraksi dalam acara perseorangan.

“Dia dilihat bergelut untuk berada dalam ranking 50 terbaik acara perseorangan dan saya percaya Soon Huat dapat meraih kedudukan lebih baik apabila beraksi dalam beregu campuran,” katanya.

Jelas Frost, Soon Huat serta Shevon Lai akan mula menjalani latihan bersama-sama hari ini.

Sepanjang beraksi dalam acara perseorangan, pemain berusia 26 tahun itu tidak mempunyai pencapaian memberangsangkan namun Soon Huat dapat menimba pengalaman berada dalam pasukan Piala Thomas 2014 di New Delhi dan tahun ini di Kunshan.

Sementara itu, di Terbuka Thailand, pemain beregu campuran negara Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Indonesia Riky Widianto-Gloria Emanuelle Widjaja 21-19, 21-18.

Antara yang turut mara termasuklah tiga pemain perseorangan wanita negara.

Tee Jing Yi menewaskan Pornpawee Chochuwong 10-21, 22-20, 21-15 sementara Goh Jin Wei menewaskan pilihan kedua kejohanan Porntip Buranaprasertsuk 21-16, 16-21, 21-17.

Ho Yen Mei pula mengalahkan pilihan kelima Yui Hashimoto 21-19, 14-21, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 7:19 AM