SONIIA mendapat ‘bye’ pusingan pertama. FOTO/YAZIT RAZALI
SONIIA mendapat ‘bye’ pusingan pertama. FOTO/YAZIT RAZALI
Daripada Ajitpal Singh and Nor Hairulnizam Wahid di Gold Coast

SONIIA Cheah yang mengalami kecederaan buku lali dalam acara berpasukan campuran mengesahkan bahawa dia sedia menahan kesakitan untuk mengambil bahagian dalam acara perseorangan dan beregu wanita di Sukan Komanwel.

Semalam, pemain nombor 29 dunia itu tidak mengendahkan arahan pegawai perubatan dan beraksi dalam final berpasukan campuran tetapi tewas kepada bintang India, Saina Nehwal dalam aksi tiga set.

Soniia dan Shevon Lai Jemie akan membuka kempen beregu menentang wakil Ghana Atipaka-Gifty Mensah, esok.

Soniia yang mendapat ‘bye’ pusingan pertama, seterusnya akan bertemu pemain Ireland Utara, Rachael Darragh dalam acara perseorangan wanita pada hari yang sama.

“Saya mengalami kecederaan buku lali itu ketika aksi separuh akhir berpasukan menentang England. Saya perlu menanggung kesakitan dan terus bermain kerana tidak mahu membazirkan peluang beraksi di Sukan Komanwel,” kata Soniia yang juga juara kebangsaan.

“Saya menjalani latihan ringan hari ini tetapi mengelak daripada melakukan latihan dalam gelanggang.”

Bercakap mengenai sasarannya dalam acara kategori individu, Soniia berkata misinya adalah untuk fokus satu demi satu perlawanan.

Sementara itu, pasangan bidan terjun Chan Peng Soon-Goh Soon Huat menewaskan wakil Trinidad & Tobago Nicholas Bonkowsky-Naim Mohammed 21-4, 21-6 dalam acara beregu lelaki.

Vivian Hoo-Chow Mei Kuan pula mengetepikan pasangan adik beradik dari Zambia, Everlyn-Ogar Siamupangila 21-3, 21-6 dalam tempoh 21 minit pada pusingan pertama beregu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 7:44 PM