CHONG Wei mara suku akhir selepas atasi Kasirye. -Foto BERNAMA
CHONG Wei mara suku akhir selepas atasi Kasirye. -Foto BERNAMA
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid


BARISAN pemain negara tidak berdepan masalah untuk memenangi perlawanan suku akhir masing-masing di Carrara Sports and Leisure Centre hari ini.

Datuk Lee Chong Wei mudah menewaskan lawan dari Uganda, Brian Kasirye 21-6, 21-6 untuk bertemu pemain Singapura, Loh Yew Kean, esok.

“Saya tidak pernah bertemunya. Saya fikir dia memberikan tentangan dan sudah pasti dia akan lebih baik pada masa depan,” jelas Chong Wei mengenai kemenangan mudahnya.

Saingan beregu lelaki menyaksikan Goh V Shem-Tan Wee Kiong menewaskan lawan dari Ghana, Donkor Emmanuel-Sam Daniel 21-5, 21-5 manakala pasangan “bidan terjun” Chan Peng Soon-Goh Soon Huat bangkit selepas tewas set pertama untuk menewaskan Chris Adcock-Lane Ben 12-21, 21-13, 21-17.

V Shem-Wee Kiong yang berada di ranking ke-13 dunia akan menentang lawan dari Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall bagi memburu tiket ke separuh akhir.

“Kami berharap rentak dapat diteruskan bagi memburu emas. Namun kami perlu mengambil perlawanan demi perlawanan dan tidak terlalu yakin,” kata Wee Kiong.

V Shem berkata: “Kami masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan lama, jadi amat penting kami fokus untuk cergas selepas setiap perlawanan.”

Soniia Cheah turut melangkah ke suku akhir dalam perseorangan wanita dengan kemenangan 21-11, 21-12 ke atas lawan dari Singapura, Grace Chan dan pemain di ranking ke-29 dunia berkenaan dalam misi membalas dendam apabila menentang pemain di ranking ke-17 dunia dari Kanada, Michelle Li esok.

Soniia tewas tiga set kepada Michelle ketika Malaysia menewaskan Kanada 4-1 dalam aksi berpasukan campuran peringkat kumpulan.

“Saya fikir apa yang sudah berakhir biarkan berlalu dan saya akan melayan lawan sebagai perlawanan yang baru. Saya perlu mengurangkan kesilapan yang tidak sepatutnya esok,” jelas Soniia.

Saingan beregu wanita menyaksikan Soniia-Shevon Lai Jemie menewaskan lawan dari England, Sinead Chambers-Rachael Darragh 21-19, 21-7 manakala Chow Mei Kuan-Vivian Hoo mengatasi pasangan Kanada, Rachel Honderich-Kirsten Tsai 21-17, 21-16.

Soniia-Shevon yang tidak diletakkan sebagai pilihan bakal menentang pilihan utama dari Australia,Setyana Mapasa-Gronya Somerville manakala Mei Kuan-Vivian menentang England, Chloe Birch-Jessica Pugh.

Aksi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon menewaskan Emmannuel-Stella Kotelkal Amasan dari Ghana 21-3, 21-10 manakala Peng Soon-Goh Liu Ying menyingkirkan lawan dari Scotland, Dunn-Eleanor O’ Donnell 21-9, 21-16.

Dua gandingan berkenaan akan menentang lawan dari India di suku akhir dengan Soon Huat-Shevon menentang Satwi Rankireddy-Ashwini Ponnappa disusuli Peng Soon-Liu Ying berdepan Pranaav Jerry Chopra-N Sikki Reddy.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 9:03 PM