DI MARIA. FOTO AFP
DI MARIA. FOTO AFP
AFP

Paris: Angel Di Maria meledak hatrik ketika juara bertahan Paris Saint-Germain menewaskan kelab divisyen kedua Sochaux 4-1 semalam untuk membawa mereka ke suku akhir Piala Perancis manakala Marseille membelasah kelab Ligue 2 Bourg-en-Bresse 9-0.

Tandukan pemain sayap Argentina itu meletakkan PSG yang merehatkan Neymar, di depan seawal minit pertama di Stade Bonal di timur Perancis, namun bekas juara dua kali Sochaux menyamakan kedudukan menerusi Florian Martin dalam tempoh 15 minit perlawanan berlangsung.

Edinson Cavani kembali meletakkan skuad Unai Emery di depan pada minit ke-27 apabila merembat masuk hantran Layvin Kurzawa namun percubaan Thiago Silva menerusi tandukannya sekadar menggegar palang.

Di Maria menambah gol ketiga pasukan hampir sejam perlawanan berlangsung apabila berjaya melepasi pertahanan lawan dengan menyambut bola dari pemain Itali Marco Verratti.

Dia melengkapkan hatriknya tiga minit kemudian menerusi lantunan bola dari jarak dekat selepas penjaga gol Sochaux Lawrence Ati Zigi menepis percubaan Cavani.

“Matlamat hari ini adalah melepasi pusingan Piala Perancis ini tanpa sebarang kecederaan,” kata Emery yang pasukannya bakal berkunjung ke Real Madrid minggu depan untuk perlawanan pertama aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara.

“Kami amat gembira dengan Di Maria,” kata jurulatih kelahiran Sepanyol itu yang menyaksikan pemain Argentina itu kembali mendapat sentuhannya dengan sembilan gol daripada 10 perlawanan sejak awal tahun ini.

“Dia berhak berada dalam skuad ini, dalam kesebelasan utama seperti juga pemain lain. Pandangan saya terhadapnya masih tidak berubah hari ini, dia pemain yang penting bagi kami.”

Terdahulu, kedua-dua Kostas Mitroglou dan Lucas Ocampos menjaringkan hatrik apabila Marseille membelasah Bourg-en-Bresse dalam aksi 16 pasukan terakhir yang berat sebelah.

“Kami berdepan mimpi ngeri, kedua-dua pasukan bagaikan langit dengan bumi,” kata jurulatih Bourg-en-Bresse Herve Della Maggiore. “Kami hanya melihat mereka bermain.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 8:42 AM