SILIWANGI (jersi putih) antara salah satu pasukan yang disiasat.
SILIWANGI (jersi putih) antara salah satu pasukan yang disiasat.
AFP

LAPAN pemain bola keranjang profesional Indonesia dan seorang pegawai pasukan digantung seumur hidup selepas didapati bersalah mengatur perlawanan.

Laporan bagaimanapun mendakwa wang daripada hasil tindakan mengatur perlawanan itu digunakan untuk membayar gaji skuad berkenaan.

Pasukan Siliwangi Bandung, salah satu dari 12 pasukan dalam liga Bola Keranjang Indonesia, disiasat selepas mencatat kekalahan sekurang-kurangnya empat perlawanan musim lalu.

Ia adalah kes yang pertama dikesan di negara itu membabitkan mengatur perlawanan dalam sukan bola keranjang, walaupun terdapat beberapa kes penipuan di Indonesia yang membabitkan sukan popular iaitu bola sepak dan badminton.

“Apa yang mereka lakukan tidak boleh dibiarkan,” pegawai Liga Bola Keranjang Indonesia, Hasan Gozali dalam satu kenyataan hari ini.

Media tempatan melaporkan pemain tidak menerima bayaran gaji penuh mereka dan ditipu supaya pertaruhan dapat dilakukan terhadap keputusan permainan, dengan pasukan itu turut mendapat bayaran.

Bagaimanapun, tidak dijelaskan berapa banyak wang yang diperoleh.

Pengerusi Persekutuan Bola Keranjang Indonesia, Danny Kosasih yang menggantung sembilan individu terbabit bagi tempoh antara dua dan lima tahun, enggan mengulas mengapa pemain itu ditipu.

“Jika seseorang mencuri wang kerana dia tidak dapat membeli makanan, adakah anda memanggilnya tidak bersalah?” katanya.

“Seseorang memberi kami rakaman perbualan mengenai rancangan mengatur perlawanan. Kami berdepan dengan pemain dan mereka mengaku,” tambah Kosasih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 1:18 AM