Pemain Malaysia, Lee Jo Rynn (kanan) mengawal bola ketika menentang Vietnam.
Pemain Malaysia, Lee Jo Rynn (kanan) mengawal bola ketika menentang Vietnam.

R Kalaimathi hampir digugurkan daripada skuad bola keranjang seminggu sebelum ke Singapura akibat kecederaan lutut kiri, namun semalam dia menahan kesakitan untuk membantu pasukan memenangi emas Sukan SEA ke-60 negara.

Kalaimathi tidak menghampakan pasukan apabila beraksi pada perlawanan terakhir liga sepusingan dengan Vietnam dengan menyumbat mata tertinggi, 14 bagi memastikan kemenangan 82-50 di Arena OCBC.

Kemenangan keempat daripada lima perlawanan itu mengesahkan kejuaraan buat skuad negara yang kali terakhir memenangi emas di Sukan SEA Korat 2007.

Bagi Kalaimathi, 25, pencapaian emas itu yang terbaik buatnya selepas memenangi gangsa di Indonesia 2011.

“Saya pada mulanya kecewa kerana kecederaan lutut itu yang dialami seminggu sebelum datang ke sini, tapi selepas pemeriksaan doktor saya dibenarkan untuk bersama pasukan.

“Memang ada rasa sakit ketika bermain, tapi saya tahan saja. Ini peluang saya menang emas kerana dua tahun lalu (Myanmar) saya tidak dapat pergi kerana kecederaan,” katanya.

Malaysia yang hanya tewas kepada Filipina dan menang empat lagi perlawanan ke atas Vietnam, Indonesia, Thailand dan Singapura bagi mengutip 12 mata memiliki kelebihan untuk meraih emas berdasarkan rekod kemenangan ke atas pencabar terdekat Indonesia.

Indonesia meraih perak dan Thailand gangsa.

“Memang selepas kalah dengan Filipina kami sedikit patah semangat. Tapi, kami tanamkan dalam diri perlu terus berusaha untuk mencari peluang,” kata Kalaimathi.

Dalam pada itu skuad bola keranjang lelaki hanya menduduki tangga kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 11:16 AM