Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun atas tuduhan membakar anak kucing hidup-hidup di sebuah pangsapuri hadir bersama penjaga di Mahkamah Majistret Kajang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun atas tuduhan membakar anak kucing hidup-hidup di sebuah pangsapuri hadir bersama penjaga di Mahkamah Majistret Kajang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Suraya Roslan


Kajang: Remaja lelaki berusia 13 tahun yang tular membakar anak kucing hidup-hidup dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz memerintahkan demikian selepas meneliti laporan akhlak yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan pesalah juvana itu wajib menjalani Bengkel Interaktif yang dianjurkan JKM dan sekatan keluar rumah bermula jam 10 malam hingga 6 pagi dalam tempoh setahun.

Peguam Lee Teong Hooi yang mewakili tertuduh ketika ditemui selepas prosiding berkata, tertuduh mengakui kesalahannya selain menyatakan hasrat ingin membela kucing itu.

"Tertuduh mohon maaf kepada mahkamah, berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatannya dan turut mengatakan ingin membela kucing berkenaan bagi menebus kesalahan yang dilakukan," kata peguam itu.

Katanya, pada masa sama dua Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak yang hadir turut menasihati tertuduh supaya menjadi anak yang lebih baik dan tidak terpengaruh dengan kawan-kawan dengan perbuatan yang tidak baik.

Mengikut pertuduhan, anak tunggal itu didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas secara kejamnya menyebabkan kesakitan kepada seekor kucing dengan membakar haiwan itu di sebuah pangsapuri, di sini pada jam 1.08 petang, 22 April lalu.

Dia didakwa mengikut 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dia boleh didenda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan tular satu rakaman video berkaitan kejadian itu yang menunjukkan tiga lelaki sedang melepak di tapak parkir motosikal flat berkenaan dan dua daripada mereka kemudian menyimbah sesuatu dipercayai bahan bakar ke atas anak kucing dianggarkan berusia enam minggu sebelum salah seorang menyalakan api.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati terdapat tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian itu.

Perkara itu turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika yang mahu tindakan segera diambil pihak berkuasa atas kekejaman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 11:57 AM