JHO Low.
JHO Low.
Agensi

Washington: Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mencapai perjanjian untuk mendapatkan semula dana lebih AS$100 juta (kira-kira RM471 juta), termasuk karya seni Claude Monet dan Andy Warhol yang dikaitkan dengan skandal dana syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai berbilion dolar AS.

Bloomberg melaporkan DOJ mengumumkan perjanjian dengan ahli perniagaan buruan warga Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low, ahli keluarganya dan entiti amanah itu untuk menyelesaikan dua kes rampasan sivil.

Ia sebelum ini membawa kepada kes terhadap aset yang didakwa diperoleh Low dan keluarganya menggunakan dana yang didakwa digelapkan daripada dana pelaburan kerajaan bermasalah, 1MDB.

Low juga bersetuju untuk bekerjasama dalam pemindahan ke Malaysia untuk beberapa aset lain yang terletak di Hong Kong, Switzerland dan Singapura yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

"Perjanjian itu menyelesaikan tindakan rampasan sivil terhadap sebuah apartmen mewah di Paris dan karya seni yang terletak di Switzerland oleh artis Andy Warhol dan Claude Monet, yang dibeli Low dengan jumlah kira-kira AS$35 juta (kira-kira (RM146.57 juta)," menurut kenyataan DOJ itu.

Selain itu, ahli perniagaan itu dan keluarganya juga akan menyerahkan harta bernilai AS$67 juta (RM280.47 juta), termasuk hartanah dan akaun bank di Hong Kong, Singapura dan Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 11:22 AM