Datuk Awie Wings ketika sidang media mengenai Konsert Journey solo Datuk Awie di Maristar, The Starhill Bukit Bintang. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Datuk Awie Wings ketika sidang media mengenai Konsert Journey solo Datuk Awie di Maristar, The Starhill Bukit Bintang. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur : Penyanyi rock legenda, Datuk Awie berkongsi keterujaan bakal menimang cahaya mata lelaki yang dijangka dilahirkan menerusi pembedahan pada 7 Julai ini.

Menurut Awie atau pemilik nama penuh Ahmad Azhar Othman, dia memilih nama Arjuna buat cahaya mata ketujuhnya itu.

"Saya sudah memilih nama untuk anak ketujuh saya ITU. Saya memilih nama Arjuna buatnya. Dia adalah Arjunaku!

"Teruja rasanya hendak menanti kelahiran cahaya mata ini. Jika diikutkan segan pada usia sebegini namun saya anggap ini adalah rezeki daripada Allah," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi lanjut mengenai kelahiran cahaya mata itu, vokalis kumpulan Wings itu juga bakal berada di Kelantan beberapa hari sebelum isterinya, Sharifah Ladyana melahirkan anak. 

"Mengikut jadual, saya ketika itu berada di Kelantan atas urusan kerja, jadi pada malam itu juga saya perlu pulang ke ibu kota sebelum isteri masuk ke bilik pembedahan.

"Ini adalah antara pengorbanan saya sebagai anak seni. Antara sebab beginilah kenapa saya rasa bersalah pada isteri dan anak-anak. Namun jerih perih kehidupan inilah saya lalui demi mereka.

"Semoga semua diluar sana mendoakan semuanya dipermudahkan dan dilancarkan," katanya.

Menerusi perkahwinan pertama Awie dengan bekas isteri juga penyanyi, Arni Nazira, mereka dikurniakan dua anak perempuan iaitu Putri Aleeya Antasha, 24, dan Putri Aleefa Antasha, 22, kini menuntut di universiti.

Awie kemudian berkahwin kali kedua dengan Rozana Misbun pada 20 Jun 2005, namun sah bercerai pada 1 November 2014. Mereka dikurniakan tiga anak, Putra Ahmad Merrah, 17; Putra Ahmad Rezzki, 16; dan Puteri Qasseh Antasha, 14. 

Bagaimanapun, pelakon filem Hantu Kak Limah ini dipertemukan jodoh kali ketiga dengan Sharifah Ladyana pada 7 Oktober 2016 dan mereka sudah dikurniakan seorang anak lelaki pada 2020 lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 11:31 AM