ASAP tebal susulan serangan Israel di selatan Lubnan. FOTO AFP
ASAP tebal susulan serangan Israel di selatan Lubnan. FOTO AFP
AFP

Berlin: Jerman pada Rabu menggesa rakyatnya meninggalkan Lubnan secepat mungkin kerana risiko peningkatan keganasan antara Israel dan Hizbullah.

Tentera Israel, dan Hizbullah yang sekutu Hamas yang disokong Iran, saling berbalas serangan hampir setiap hari sejak serangan kumpulan pejuang Palestin pada 7 Oktober, ke atas Israel.

Ketegangan meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini dengan serangan dilakukan antara kedua belah pihak yang semakin memuncak.

Pada Rabu, Kementerian Luar Negara Jerman di Berlin mengemas kini panduan perjalanannya untuk negara itu, dengan mengatakan: "Warga Jerman diminta segera meninggalkan Lubnan".

"Ketegangan yang semakin memuncak di kawasan sempadan Lubnan dengan Israel boleh meningkat lagi pada bila-bila masa," kata kementerian itu.

Terdapat juga "peningkatan risiko serangan" di Lubnan yang berisiko ditujukan kepada warga asing dari Barat atau serangan di hotel besar, katanya.

Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock pada Selasa memberi amaran bahawa "salah perhitungan" boleh mencetuskan perang besar antara Israel dan Hizbullah.

"Dengan setiap roket yang merentasi Garis Biru antara Lubnan dan Israel, bahaya semakin besar bahawa kesilapan perhitungan boleh mencetuskan perang besar," kata Baerbock pada X semasa lawatan ke Beirut, merujuk kepada garis persempadanan antara Israel dan Lubnan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 11:49 AM