KPDN menyerbu sebuah kilang di Jalan Pasar di sini kerana menggunakan logo halal tidak sah pada produk biskut. FOTO IHSAN KPDN
KPDN menyerbu sebuah kilang di Jalan Pasar di sini kerana menggunakan logo halal tidak sah pada produk biskut. FOTO IHSAN KPDN
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Sebuah kilang roti dan biskut di Jalan Pasar di sini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam kerana menggunakan logo halal tidak sah.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi sekitar jam 11 pagi oleh KPDN Cawangan Teluk Intan mendapati premis terbabit mempunyai sijil halal yang sah bagi 26 jenis produk makanan biskut dan roti yang dikilangkan untuk jualan.

"Namun, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu produk biskut yang dikilangkan dan ditawarkan di premis ini tiada dalam senarai sijil halal.

"Sebanyak 35 bungkus produk biskut terbabit dijumpai siap dibungkus dengan penandaan logo halal dan dipamerkan untuk jualan kepada pelanggan.

"Oleh itu, KPDN bertindak menyita kesemua 35 bungkus produk biskut, bungkusan kosong yang dicetak logo halal dianggarkan bernilai RM620.35 serta beberapa dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Perintah (8)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 12:18 PM