TIGA pemain ditahan SPRM semalam untuk siasatan.
TIGA pemain ditahan SPRM semalam untuk siasatan.
Mohd Amin Jalil


Nilai: “Saya yakin dan percaya, bukan soal gaji rendah yang menyebabkan mereka terbabit dalam kegiatan menerima sogokan atau menjual perlawanan kerana kami membayar gaji munasabah, setanding dengan pemain lain.

“Malah, kami turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pemain termasuk pengina pan,” kata Presiden MISC-MIFA Datuk T Mohan.

Beliau mengulas mengenai tiga pemain termasuk seorang pemain import pasukan itu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam kegiatan menjual perlawanan.

Mereka disyaki mengambil wang rasuah daripada bookie sebagai habuan untuk menentukan keputusan perlawanan bola sepak Liga Perdana musim ini.

Mohan berkata, dua pemain tempatan ditahan itu adalah pemain senior yang sudah bersama pasukan sejak mereka beraksi pada Piala FAM musim lalu.

“Mereka berdua (pemain tempatan) sudah bersama kami sejak Piala FAM malah kedua-duanya juga menerima gaji bulanan tinggi selaras dengan status mereka selain mencarum dalam KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Perkeso,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, semalam.

Ditanya mengenai kedudukan tiga pemain terbabit yang berkemungkinan digantung atau disingkirkan daripada pasukan, beliau berkata bergantung kepada keputusan siasatan SPRM.

Katanya, pihaknya mengesyaki mereka terbabit dalam kegiatan itu selepas menjalankan siasatan dalaman dan mendapati ada unsur yang menjurus kepada kegiatan mengatur perlawanan sebelum melaporkannya kepada SPRM, Jumaat lalu.

“Kami yakin unsur mengatur perlawanan itu hanya berlaku dalam saingan Liga Perdana dan bukannya ketika Piala FAM. Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan lanjut dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya tidak akan berkompromi dalam soal rasuah dan saya sudah terangkan kepada pemain jika kurang duit beritahu saya dan bukannya bersubahat menjual perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 5:10 AM