MALAYSIA menewaskan Timor Leste 1-0 dalam perlawanan Kumpulan B pada 30 Mei. FOTO fail NSTP Hairul Anuar Abd Rahim
MALAYSIA menewaskan Timor Leste 1-0 dalam perlawanan Kumpulan B pada 30 Mei. FOTO fail NSTP Hairul Anuar Abd Rahim

SINGAPURA: Rakyat Indonesia, Nasiruddin dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana kesalahan mengatur keputusan perlawanan sewaktu Sukan Sea ke-28 di sini.

Dalam satu kenyataan, Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura (CPIB) berkata, Nasiruddin didakwa berkonspirasi dengan dua orang lain termasuk seorang rakyat Singapura, untuk secara salah memberi ganjaran S$15,000 (RM41,712.50) kepada Orlando Marques Henriques Mendes, yang juga Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Timor Leste.

Ia adalah sebagai imbuhan mengatur pasukan Timor Leste kalah kepada Malaysia dalam perlawanan mereka pada 30 Mei lalu.

Ini adalah kesalahan mengikut Seksyen 6(b) yang dibaca dengan Seksyen 29 Akta Pencegahan Rasuah, Bab 241.

CPIB berkata, Nasiruddin turut didakwa bersubahat dalam konspirasi jenayah dengan bersetuju menawarkan rasuah kepada pemain pasukan Timor Leste sebagai imbuhan untuk kalah dalam perlawanan sama, kesalahan mengikut Seksyen 5(b)(i) Akta Pencegahan Rasuah, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(1) Kanun Kesiksaan (Bab 241, 2008 Pindaan)

Singapura mengamalkan undang-undang ketat terhadap rasuah dan aktiviti mengatur keputusan perlawanan tidak terlepas daripada hukuman.

CPIB berkata, mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti mengatur perlawanan.

Biro itu bekerjasama dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan agensi lain untuk memastikan bola sepak tempatan bebas daripada gejala rasuah. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 9:37 PM