COUTINHO (kiri) melakukan percubaan ke gawang lawan ketika Liverpool bertemu Southampton. -Foto AFP
COUTINHO (kiri) melakukan percubaan ke gawang lawan ketika Liverpool bertemu Southampton. -Foto AFP
AFP

LONDON: Philippe Coutinho mungkin meninggalkan Liverpool pada masa depan, tetapi kemampuan bintang Brazil itu untuk mengekalkan fokus ketika ini membantu menyembuhkan luka dikecam penyokong, susulan dikaitkan perpindahan ke Barcelona.

Apabila skuad kendalian Jurgen Klopp itu berkunjung ke Sevilla bagi aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini, mereka menagih sentuhan Coutinho untuk mengetuai pasukan bagi memburu kemenangan dalam misi mara ke pusingan 16 terbaik.

Bagi Coutinho yang menjadi tumpuan di Liverpool musim ini, ia dianggap sebagai ujian buat dirinya dan enggan terbawa-bawa dengan isu susulan kegagalannya untuk berpindah ke Barcelona yang menyaksikan dia menjadi musuh nombor satu di Merseyside.

Dua bulan lalu, hubungan Coutinho dengan kelab dan penyokong dingin, selepas dia menghantar permohonan untuk berpindah ketika Barcelona cuba menyakinkan Liverpool untuk menjual aset mereka itu dengan nilai sebanyak 100 juta pound (RM548.8 juta).

Pemilik Liverpool dari Amerika Syarikat (AS) menegaskan, Coutinho bukan untuk dijual pada saat akhir pintu perpindahan, sekali gus menimbulkan spekulasi mengatakan dia berang dengan keputusan itu.

Klopp bagaimanapun bijak memainkan peranannya untuk memastik majikan dan pemainnya gembira.

COUTINHO meraikan jaringannya ketika menentang Southampton. -Foto Reuters
COUTINHO meraikan jaringannya ketika menentang Southampton. -Foto Reuters

Ketika dia kembali beraksi selepas kecederaan dialaminya awal musim ini, Coutinho tidak menunggu lama untuk membalas kepercayaan pengurus itu.

Coutinho membuktikan sentuhannya apabila meledak gol kelima musim ini, ketika membantu skuad The Reds menewaskan Southampton 3-0, Sabtu lalu.

Ia adalah gol kelima Coutinho dalam tujuh penampilan, tetapi nilai penyerang Brazil itu kepada Liverpool lebih daripada jumlah jaringan gol.

“Saya menjadi lebih matang sejak saya berada di sini. Saya menjadi bertambah kuat di sini, setiap tahun saya merasakan saya bertambah dan lengkap daripada aspek mental. Tidak hanya dalam bola sepak tetapi dalam kehidupan secara keseluruhannya.

“Saya tidak pernah mahu berhenti kerana saya tahu peningkatan adalah sesuatu yang tidak akan terhenti. Ada banyak perkara baharu yang kamu boleh pelajari untuk meningkatkan prestasi. Saya gembira dengan peningkatan saya tetapi saya belum selesai.

“Ketika saya tiba, saya dilihat hanya mampu menjadi perancang, tetapi saya berpeluang bekerja dengan profesional dan pemain yang berkualiti di bawah kendalian pengurus yang baik. Dia mengajar saya untuk memahami tanggungjawab di posisi yang berbeza,” katanya.

Coutinho kemungkinan meninggalkan Anfield pada hujung saingan musim ini sekiranya Barcelona mengemukakan satu lagi tawaran lumayan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 2:12 PM