AFP

LOS ANGELES: Bekas pemain tengah Kelab Galaxy, Kyle Martino (gambar) mengesahkan bakal bertanding merebut jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Amerika Syarikat (USSF).

Martino, yang terkenal sebagai penganlisis sukan di rangkaian televisyen NBC berkata, dia mengambil keputusan itu selepas beberapa perkembangan mengenainya banyak diperkatakan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Bekas bintang berusia 36 tahun itu juga akan berehat seketika daripada tugasan di NBC dalam usaha memenangi pertandingan menggantikan kerusi panas yang disandang Sunil Gulati.

“Bola sepak Amerika Syarikat berada pada tahap paling rendah sejak kewujudannya apabila gagal layak ke Russia disebabkan banyak isu,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik ke laman web kempennya.

“Kita perlukan perubahan, bukan setakat hala tuju tetapi membabitkan visi dan cita-cita. Sudah sampai masanya kita meletakkan semula bola sepak sebagai keutamaan USSF,” katanya.

Bulan lalu, imej bola sepak AS terjejas apabila tersingkir di tangan pasukan kerdil Trinidad and Tobago ketika pusingan kelayakan ke Piala Dunia Russia 2018.

Martino berkata, kegagalan negara itu melangkah ke Russia disebabkan wabak yang melanda bola sepak seluruh negara.

“Apabila sebuah negara dengan jumlah penduduk seramai 300 juta gagal layak ke Piala Dunia, ia bukan disebabkan kekurangan padang yang sempurna tetapi ia disebabkan kegagalan semua peringkat permainan,” katanya.

Martino berkata dia akan mengubah keadaan itu jika terpilih sebagai presiden dan berjanji akan melepaskan jawatan jika pasukan negara itu gagal ke Piala Dunia 2022 atau gagal ke suku akhir Piala Dunia 2026.

Pencalonan bagi pemilihan jawatan presiden USSF yang akan berlangsung Februari tahun depan mesti disahkan pada Disember ini.

Setakat ini, penyandang sedia ada, Gulati belum menyatakan kesediaan sama ada mempertahankan jawatannya ataupun tidak.

Begitupun, timbalannya, Carlos Cordeiro minggu lalu mengumumkan kesediaan bertanding semula bersama dengan Eric Wynalda dan Steve Gans.

Calon lain yang menyatakan kesediaan mempertahankan jawatan masing-masing ialah Mike Winograd, Paul Caligiuri dan Paul Lapointe.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 12:00 PM