Manchester: Pertembungan membabitkan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo yang dilabel aksi paling dinanti hambar apabila kedua-dua pemain hanya beraksi 45 minit dengan Portugal meraih jaringan pada lewat perlawanan untuk menewaskan Argentina 1-0 pada aksi persahabatan, awal pagi semalam.

Kedua-dua pemain digantikan selepas tamat separuh masa pertama dan kebanyakan penyokong di Old Trafford kelihatan hilang semangat untuk meraikan tandukan terbang Raphael Guerreiro pada minit pertama masa kecederaan.

Beraksi di posisi sayap kanan, Messi mempamerkan kehebatan seperti dipersembahkan di Barcelona dan cubaannya menggegar tiang pada minit ke-11. Kehadiran Ronaldo untuk Portugal pula dilihat sekadar persembahan biasa di padang yang pernah menyaksikan dia bersama Manchester United dari 2003 hingga 2009.

Selain daripada percubaannya yang tersasar, Ronaldo jarang menampilkan persembahan mengagumkan.

Ia malam sukar apabila dua seteru hebat itu cuba mempamerkan kemampuan menjelang undian pemain terbaik FIFA dan mencetuskan ejekan penonton apabila kedua-duanya dikeluarkan sebelum permulaan babak kedua.

Messi dan Ronaldo saling mencabar pada minit ke-27 namun ia agak mengecewakan.

“Kami sudah memberitahu Lionel dia akan hanya beraksi separuh masa,” kata jurulatih Argentina Gerardo Martino.

Jaringan Guerreiro peluang terbuka tunggal dicipta Portugal. Percubaan jarak jauh Portugal tertampan Eder dan melantun ke bahagian sayap kanan dengan Ricardo Quaresma mengawal bola sebelum melakukan hantaran silang kepada penyerang gantian berkenaan yang tidak dikawal untuk menanduk melepasi jangkauan penjaga gol Argentina, Naheul Guzman.

“Kami sedar apabila menentang pasukan seperti itu, ia sangat sukar,” kata pemain tengah Portugal, Nani yang kini bersama Sporting Lisbon selepas dipinjamkan United.

“Kami mahu mempertahankan keputusan selain turut cuba memenangi perlawanan, akhirnya kami memberi sedikit tekanan dan berjaya memenanginya.”

Nani menamatkan aksi itu dengan memijak kaki kanan Angel Di Maria, pemain yang menggantikannya dalam skuad United musim ini. Di Maria memerlukan rawatan sebelum meneruskan perlawanan.

“Ia satu kesalahan serius,” kata Martino. “Ia menyebabkan kulit kaki Angel koyak. Kami akan lihat hasil ujian imbasan x-ray, namun saya tidak fikir ia terlalu serius.”

Martino tewas dua daripada lima perlawanan dikendalikannya sejak mengambil alih Argentina selepas Piala Dunia di Brazil. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:07 AM