GERARDO MARTINO
GERARDO MARTINO
Reuters

MEXICO CITY: Mexico melantik bekas jurulatih Barcelona, Gerardo Martino selaku ketua jurulatih baru skuad kebangsaan sekali gus menamatkan era singkat pemangku jurulatih, Ricardo Ferretti.

Martino yang juga pernah membimbing Paraguay dan Argetina, diberi tanggungjawab untuk membimbing Mexico ke Piala Dunia 2022 di Qatar, kata Presiden Persekutuan Bolasepak Mexico, Yon de Luisa ketika mengumumkan pelantikan jurulatih dari Argentina itu.

“Pengalamannya bersama skuad kebangsaan memberi keyakinan kepada kami terutamanya untuk cabaran pada Piala Dunia 2022,” katanya.

Mexico sudah beraksi di semua edisi Piala Dunia sejak 1994, tetapi sering tersungkur seawal pusingan kedua.

Martino, 56, mempunyai rekod membantu Argentina melangkah ke final Copa America pada 2015, selepas membantu Paraguay mara ke peringkat sama empat tahun sebelum itu, dengan kedua-duanya berakhir selaku naib juara saja.

Beliau dinobatkan selaku jurulatih terbaik tahun lalu di atas usaha kerasnya bersama Atlanta United yang beraksi di MLS.

Martino diharapkan dapat membantu Mexico yang tewas lima daripada enam perlawanan persahabatan ketika di bawah bimbingan Ferretti.

Cabaran pertamanya adalah perlawanan persahabatan bertemu bertemu Chile dan  Paraguay pada Mac dengan kedua-duanya berlangsung di California.  

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 10:38 AM