SUNG-Hoon berkongsi tangga ketiga bersama Schauffele dengan catatan 17 di bawah par 271. -Foto Bernama
SUNG-Hoon berkongsi tangga ketiga bersama Schauffele dengan catatan 17 di bawah par 271. -Foto Bernama
Farah Azharie

EDISI kelapan CIMB Classic yang melabuhkan tirainya semalam terus gagal melahirkan juara di kalangan pemain Asia pada kejohanan yang diiktiraf Jelajah Asia itu.

Kebarangkalian untuk melihat juara dari Asia menjadi semakin rendah gara-gara daripada 78 pemain yang mengambil bahagian, hanya 12 slot diberikan kepada pemain Jelajah Asia manakala selebihnya untuk Jelajah PGA.

Ke semua pemenang saingan yang menawarkan hadiah AS$7 juta (RM29 juta) itu hadir dari bumi Amerika Syarikat dengan Ben Crane muncul juara sulung edisi 2010 diikuti Bo Van Pelt (2011), Nick Watney (2012), Ryan Moore (2013 dan 2014), Justin Thomas (2015 dan 2016) dan Pat Jerez (2017).

Untuk kali ini, status sebagai pemain terbaik Asia di CIMB Classic menjadi milik pemain Korea Selatan Kang Sung-Hoon - yang beraksi dalam Jelajah PGA - di mana dia menamatkan saingan berkongsi tangga ketiga bersama Xander Schauffele selepas mencatat 17 di bawah par 271.

Tetapi untuk sepanjang lapan edisi, pencapaian terbaik pemain Asia dirakam oleh bintang Jepun Hideki Matsuyama pada tahun lalu yang mana pemain nombor tiga dunia itu meraih tangga kedua.

Namun, wakil Malaysia mengharungi kempen yang tidak baik tahun ini tatkala mereka gagal mencapai jangkaan sepanjang empat hari aksi di TPC Kuala Lumpur.

Penamat terbaik Malaysia kali ini menerusi juara Taiwan Masters 2017, Gavin Kyle Green yang berkongsi tangga ke-61 bersama pemain Amerika Syarikat, Jim Herman (288).

Pendahulu carta Order of Merit Jelajah Asia itu mencatat pusingan 73-71-69-75 untuk membawa pulang AS$15,190 (RM63,888) atas persembahannya itu sekali gus mengukuhkan penguasaannya dalam carta berkenaan.

Jaguh veteran negara, Danny Chia pula menamatkan kempen dengan mencatat 289 pukulan (satu pukulan di atas Gavin) untuk menutup cabaran di tangga ke-63.

Bagaimanapun, pemain profesional negara Nicholas Fung paling bergelut pada edisi kali ini apabila melakukan catatan buruk tujuh di atas par 79 pada hari kedua untuk 11 di atas par 299 sekali gus meletakkan dia menghuni tangga ke-76 daripada 78 pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 7:01 PM