KUALA LUMPUR 14 OKTOBER 2017. Pemain golf dari Malaysia, Gavin Kyle Green beraksi pada hari terakhir kejohanan golf CIMB Classic di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara. NSTP/AIZUDDIN SAADAIZUDDIN SAAD
KUALA LUMPUR 14 OKTOBER 2017. Pemain golf dari Malaysia, Gavin Kyle Green beraksi pada hari terakhir kejohanan golf CIMB Classic di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara. NSTP/AIZUDDIN SAADAIZUDDIN SAAD
Farah Azharie dan Naqib Nor Said


IMPIAN Gavin Kyle Green (gambar) untuk menjadi pemain Malaysia pertama menjuarai Kedudukan Merit Jelajah Asia kini tergugat berikutan persembahan kurang memberangsangkan di CIMB Classic minggu ini.

Gavin dilihat bergelut mencapai prestasi terbaiknya terutama pada hari terakhir apabila mencatat pusingan 73-71-69-75 bagi menamatkan saingan di tangga ke-61 bersama Jim Herman dari Amerika Syarikat pada catatan par 288.

Gavin, yang turun dengan keyakinan tinggi selepas memenangi gelaran Jelajah Asia pertamanya di Taiwan Masters, bagaimanapun masih mendahului senarai wang kemenangan.

Dengan sembilan kejohanan berbaki musim ini, kedudukan teratas Gavin itu bakal digugat David Lipsky (AS) dan Scott Hend dari Australia yang memenanginya tahun lalu.

Pemain 23 tahun negara itu kini mendahului dengan kutipan AS$84,807 (RM358,292), Lipsky di tangga kedua pada AS$81,2000 (RM343,053) selepas terikat di tangga ke-21 di CIMB Classic dengan catatan 10 bawah par 278.

“Saya bermain di sini tahun lalu tetapi selepas mengharungi Jelajah Asia, saya tidak berpuas hati dengan permainan saya. Saya kecewa kerana ini adalah halaman sendiri, di hadapan penyokong sendiri tetapi saya tidak dapat melakukannya dengan baik minggu ini,” kata Gavin.

Gavin akan ke Korea minggu depan di mana dia akan cuba memperbaiki beberapa kelemahan dalam permainannya sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Juara-Juara WGC-HSBC di China dari 26 hingga 29 Oktober ini.

“Saya rasa saya perlu memperbaiki aspek permainan jarak dekat yang menyukarkan saya minggu ini, selain daripada itu tidak ada masalah. Banyak aspek positif tetapi masih banyak ruang untuk peningkatan.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 7:27 PM