PEMAIN golf India, Shubhankar Sharma. FOTO AFP
PEMAIN golf India, Shubhankar Sharma. FOTO AFP
Farah Azharie


KUALA LUMPUR: Hari terakhir CIMB Classic esok bakal menyaksikan saingan tiga penjuru di TPC Kuala Lumpur selepas bintang Jelajah Asia Shubhankar Sharma melonjak menyertai kelompok teratas.

Pemain 22 tahun dari India itu mencatat enam bawah par 66 untuk menyertai Gary Woodland dan Marc Leishman dari Amerika Syarikat pada 19 bawah par 197.

Sharma, juara kejuaraan Maybank di Kuala Lumpur awal tahun ini, membuat penampilan pertamanya di kejohanan tunggal dalam siri Jelajah PGA di rantau Asia Tenggara.

“Saya lebih gemar bermain dalam cuaca panas. Hari ini sangat baik dan ia tidak terlalu panas,” kata Sharma. “Saya membesar dengan bermain dalam cuaca begini sejak saya bermain golf, bahangnya lebih kuat ketika musim panas jadi cuaca panas memberi kelebihan buat saya.

 “Asia adalah halaman saya dan ia amat bagus dapat bermain di hadapan penyokong sendiri. Jelas sekali hari ini saya mendapat sokongan padu dan tepukan gemuruh di lubang ke-18. Saya amat gembira dan akan memberikan persembahan terbaik esok.”

Woodland dan Leishman yang berkongsi tangga teratas selepas pusingan kedua semalam, masing-masing mencatat lima bawah par 67 untuk terus berada di landasan terbaik memburu kejuaraan pada kejohanan yang menawarkan AS$7 juta (RM29 juta) keseluruhan itu.

Sementara itu juara bertahan Pat Perez dari Amerika Syarikat bergelut mendapatkan rentak sebenarnya apabila sekadar terikat di tangga ke-42 pada enam bawah par 210 manakala bekas pemain nombor satu dunia Justin Thomas terikat di tangga ke-19 pada 12 bawah par 204.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 6:57 PM