HAIQAL (kiri) harap Khairul akan sertai kuartet 4x100 m  menjelang Sukan Komanwel Gold Coast 2018. FOTO/OSMAN ADNAN
HAIQAL (kiri) harap Khairul akan sertai kuartet 4x100 m menjelang Sukan Komanwel Gold Coast 2018. FOTO/OSMAN ADNAN
Mohd Khairie Khalid


ATLET olahraga negara Muhammad Haiqal Hanafi mengakui dia memerlukan ‘pertolongan’ dan ‘henjutan berbisa’ daripada raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.

Pelari pertama kuartet 4x100 meter pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu menjelaskan Khairul perlu berada bersama tiga pelari utama lain untuk menjadikan pasukan negara lebih pantas dalam kejohanan berprestij selepas ini.

Justeru, Haiqal berharap Khairul dapat berada bersama kuartet 4x100m negara menjelang Sukan Komanwel Gold Coast 2018, sekali gus menebus episod duka (mengalami kecederaan serta tidak diturunkan) di KL2017.

“Selepas KL2017, sasaran saya untuk tahun depan adalah temasya seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan Remaja Asia, Kejohanan Remaja Dunia dan Sukan Malaysia (SUKMA).

“Tapi saya akan berfikir mengenai Sukan Komanwel terlebih dulu. Andai ada rezeki ke sana saya akan buat yang bersungguh-sungguh dan memanfaatkan sepenuhnya kepercayaan diberikan.

“Tapi paling penting saya harap Khairul dapat bersama dalam pasukan. Sebab dengan adanya dia, kami harap dapat baiki catatan masa dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo pada 2020,” kata Haiqal ketika dihubungi.

Haiqal menjadi watak penting di KL2017, membantu kuartet 4x100m memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 39.27 saat bersama Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Nixson Kennedy.

Rekod lama adalah 39.62s dan ia dilakukan gandingan Haiqal, Badrul, Jonathan dan Khairul Hafiz pada Terbuka Vietnam, 27 Julai lalu.

Menyentuh mengenai pengalaman di KL2017 Ogos lalu, anak didik Mohd Poad Md Kassim itu menjelaskan dia dapat belajar bagaimana menyerap banyak tekanan dalam satu kejohanan besar.

Justeru atlet berusia 18 tahun dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor itu berharap dapat diberi kepercayaan untuk beraksi dalam acara individu seperti pecut 100m lelaki pula dalam temasya berprestij selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 7:35 PM