NIXSON akui berdepan tugas berat sebagai pelari pertama kuartet 4x100m negara. -Foto fail
NIXSON akui berdepan tugas berat sebagai pelari pertama kuartet 4x100m negara. -Foto fail
Mohd Khairie Khalid


SELAKU pelari pertama kuartet 4x100 meter (m) negara, Nixson Kennedy mengakui dia mempunyai tugas berat kerana lariannya akan menentukan kedudukan pelari negara di Sukan Komanwel yang cuma berbaki seminggu lagi.

Jadi, Nixson menegaskan dia perlu menggunakan sepenuhnya tenaga selain memastikan baton tiba kepada pelari kedua tepat pada masanya di temasya Gold Coast, Australia, bermula April ini.

“Ini adalah penampilan pertama saya di Komanwel. Saya adalah pelari pertama, jadi saya kena memberikan henjutan penuh supaya dapat memberikan permulaan terbaik buat pasukan.

“Banyak tugasan perlu dimainkan selaku pelari pertama,” kata Nixson, ketika dihubungi.

Di atas kertas, pelari Jamaica dan Kenya mendominasi acara pecut di balapan di Glasgow, Scotland pada 2014, namun semua itu mematahkan semangat Nixson untuk membantu pelari negara mencipta kejutan.

“Bukan senang hendak beraksi apatah lagi jika berlari bersama pelari dari Jamaica.

“Saya teruja, tidak sabar hendak bersaing kerana belum pernah beraksi bersama mereka,” katanya yang meletakkan sasaran membantu kuartet 4x100 m lelaki negara memecahkan rekod kebangsaan di Gold Coast.

Nixson adalah antara watak penting membantu kuartet 4x100m negara mencipta rekod kebangsaan baharu dengan kepantasan 39.27s di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos tahun lalu.

Mengulas lanjut, Nixson mengakui kemunculan raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan bersama skuad 4x100m dapat memberikan motivasi tambahan selain menjadi satu kelebihan buat pasukan.

Turut berada dalam pasukan ketika ini ialah Muhammad Haikal Hanafi, Jonathan Nyepa dan Badrul Hisyam Abdul Manap.

Bagi acara 4x100m lelaki di Sukan Komanwel, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meletakkan kepercayaan kepada Khairul Hafiz, Jonathan, Nixson, Badrul Hisyam dan Rayzam Shah Wan Sofian untuk menggalas cabaran negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 6:29 PM