Russel dijangka akan beraksi dalam acara 4x100m di Sukan Asia, Hangzhou. -FOTO NSTP
Russel dijangka akan beraksi dalam acara 4x100m di Sukan Asia, Hangzhou. -FOTO NSTP

Oleh Aida Adilah Mat

[email protected]

Kuala Lumpur: Prestasi pelari pecut negara, Russel Alexander Nasir Taib yang semakin meningkat naik membolehkan namanya tersenarai dalam skuad olahraga ke temasya Sukan Asia, Hangzhou, September ini.

Khidmat pelari yang kini berpangkalan di Australia itu diharapkan dapat membantu kuartet negara untuk mencatatkan keputusan larian lebih pantas di bawah 39 saat (s).

Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim ketika dihubungi berkata, beliau yakin dengan kemampuan barisan pelari negara yang kini berada di tahap terbaik.

"Russle dipanggil untuk memperkuatkan barisan kuartet negara. Dia akan kembali ke Malaysia untuk menjalani latihan pusat bersama-sama pelari kuartet negara yang lain.

"Saya menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap pasukan ini dan yakin mereka mampu untuk memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 4x100m," katanya.

Rekod kebangsaan dalam acara 4x100m itu ialah 39.09s dicatatkan ketika temasya Sukan Sea Hanoi menerusi Muhammad Azeem Fahmi, Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail sekali gus meraih pingat perak.

Ditanya mengapa tidak mengekalkan barisan pelari pecut yang merekodkan rekod kebangsaan itu, Poad berkata, Zulfiqar digugurkan kerana beberapa faktor dan tempatnya diambil oleh Russle yang mana prestasinya semakin meningkat.

Ketika ini seramai enam pelari pecut diketuai oleh pemenang rekod kebangsaan 100 meter (m), Azeem, Russel, Khairul Hafiz, Haiqal, Johnathan Nyepa dan Arsyad akan ke Hangzhou.

Bagaimanapun menurut Poad senarai pelari yang akan beraksi dalam 4x100m hanya akan ditentukan kemudian.

"Ketika ini dalam perancangan semua akan beraksi. Azeem dan Khairul akan berlari dalam acara 100m.

"Keadaan Haiqal juga semakin baik dan dia kini sudah pulih daripada kecederaan buku lali yang dialaminya sudah pulih.

Terdahulu di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand, kuartet negara yang dibarisi Azeem, Khairul Hafiz, Jonathan dan Mohammad Thaqif Hisham menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas mencatatkan 39.17s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 3:21 PM