BOS Gaurus tagih sokongan padu penyokong.
BOS Gaurus tagih sokongan padu penyokong.
BERNAMA

PERSATUAN Bolasepak Perak (PAFA) menghantar surat rasmi kepada Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memohon supaya tarikh 14 Oktober depan kekal bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Perak, Ipoh.

Presidennya Datuk Abdul Puhat Mat Nayan berkata, surat itu dihantar pada 26 September lalu namun hingga kini belum mendapat kata putus daripada FMLLP.

“Kami harap FMLLP memberi pertimbangan sewajarnya kerana 14 Oktober itu hari Sabtu, jadi memudahkan orang ramai untuk ke stadium kerana esoknya masih cuti hujung minggu,” katanya di Ipoh hari ini.

Menurutnya, PAFA berharap FMLLP bersetuju dengan tarikh itu bagi memudahkan puluhan ribu penyokong The Bos Gaurus dari seluruh negeri turun memberikan sokongan.

PUHAT (kiri) harap dapat pertimbangan wajar daripada FMLLP.
PUHAT (kiri) harap dapat pertimbangan wajar daripada FMLLP.

Sebelum ini, FMLLP menghantar surat kepada PAFA memaklumkan aksi separuh akhir pertama antara Perak dan Johor DT diadakan pada 15 Oktober di Stadium Perak.

Namun perkara itu tidak dipersetujui PAFA kerana FMLLP didakwa menetapkan tarikh itu tanpa sebarang perbincangan.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PAFA Ahmad Shahrul Azhar Sofian ketika dihubungi berkata, PAFA sedikit terkilan namun tetap optimis FMLLP akan menerima rayuan PAFA.

“Kami harap FMLLP bersetuju. Lagipun ini aksi terakhir Perak di gelanggang sendiri dan biarlah ia ditamatkan dengan suasana yang meriah dengan sokongan puluhan ribu penyokong,” katanya yang berharap FMLLP akan memberi jawapan dalam masa terdekat bagi memudahkan penyokong membuat perancangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 2:27 PM