PEMAIN Perak jalani latihan intensif.
PEMAIN Perak jalani latihan intensif.

Ipoh: Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yakin pasukan negeri itu akan layak ke final Piala FA walaupun turun tanpa beberapa tonggak apabila membuat perhitungan menentang PKNS pada separuh akhir kedua di Stadium Perak, malam ini.

Pemain seperti Elias, Shahrul Saad, Nasir Basharuddin dan Vokhid Shodiev tiada dalam kesebelasan permulaan malam ini kerana penggantungan dan kecederaan.

Elias mengutip kad kuning kedua pada pertemuan pertama di Stadium Hang Jebat 16 April lalu menyebabkan penyerang dari Brazil itu terpaksa menjadi penonton malam ini.

Manakala Nasir, Shodiev dan Shahrul masing-masing masih belum pulih daripada kecederaan.

“Saya yakin siapa juga yang diturunkan bersedia untuk memberi persembahan terbaik mereka.

“Saya harap pemain memberikan persembahan berkualiti untuk mengusahakan kejayaan. Kami hanya selangkah saja lagi untuk menggapai impian mara ke final selepas begitu lama.

“Saya harap pemain tidak mensia-siakan kelebihan beraksi di tempat sendiri memandangkan kehadiran ramai penyokong untuk memberi sokongan berdasarkan jualan tiket yang hampir habis sehari sebelum perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 10:17 AM