myMetro

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam (gambar) yakin tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia yang dipinda ke Ahad, 30 Oktober ini tidak akan menghalang penyokong Selangor dan Kedah membanjiri Stadium Shah Alam.

Menurutnya, persetujuan untuk menetapkan tarikh itu sudah dibuat oleh ahli lembaga FMLLP dan turut dimaklumkan kepada pasukan finalis sebaik selesai separuh akhir kedua kelmarin.

“Tarikh final Piala Malaysia pada 29 Oktober ditetapkan lebih awal tahun lalu jadi memandangkan ada perubahan pada tarikh perayaan Deepavali yang jatuh pada tarikh yang sama jadi pindaan terpaksa dilakukan.

“Kami sudah memilih tarikh 30 Oktober sebelum ini namun tidak diumumkan secara rasmi lebih awal kerana mahu meminta pandangan pasukan yang layak ke final terlebih dulu mengenai tarikh berkenaan sebab ada kemungkinan pasukan mahu beraksi awal pada Jumaat 28 Oktober.

“Pada saya ia bukan isu besar kerana ini bukan kali pertama kita menganjurkan final Piala Malaysia pada hari Ahad. Pahang dan Kelantan pernah bermain di final pada hari Ahad 2013 dan tidak ada masalah untuk mereka datang ke stadium sedangkan hari Ahad adalah hari bekerja bagi penyokong Kelantan,” katanya.

Kevin berkata, tarikh yang ditetapkan FMLLP kali ini sebenarnya memberi banyak kelebihan kepada penyokong.

“Jika kita lihat tahun ini, FMLLP memberikan tempoh dua minggu untuk pasukan membuat persediaan ke final berbanding seminggu sebelum ini. Malah tempoh ini juga memudahkan untuk penyokong membuat persediaan awal untuk pergi ke stadium,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 9:13 AM