KEVIN Ramalingam.
KEVIN Ramalingam.
Mohamad Zulfaizan Mansor


Kuala Lumpur: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menegaskan tiada penundaan jadual bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia seperti yang didakwa Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam menjelaskan tarikh 13 dan 14 Oktober yang diperkatakan sebelum ini hanya perancangan awal sebelum cadangan terbaru yang menyaksikan kedua-dua aksi separuh akhir akan dimainkan pada 15 Oktober.

Kevin berkata, tarikh 15 Oktober dicadangkan selepas mengambil kira semua faktor terutama aksi kelayakan Piala Asia 2019 membabitkan skuad kebangsaan di Hong Kong pada 10 Oktober ini.

“Skuad kebangsaan kemungkinan akan pulang dari Hong Kong pada 11 Oktober, maknanya hanya 12 Oktober pemain terbabit boleh melaporkan diri bersama pasukan masing-masing.

“Jadi apa salahnya kita sama-sama menjaga pemain kebangsaan ini yang pastinya kepenatan. Malah, pemain ini bukan datang daripada satu pasukan tetapi semua termasuk Johor DT, FELDA United, Kedah dan Perak juga.

“Kalau kita paksa semua pasukan main pada Sabtu (14 Oktober) dan katakan ada pemain cedera, pasukan akan tuduh jadual FMLLP padat pula. Apa salahnya kami letak perlawanan ini pada Ahad (15 Oktober).

“Kami juga tidak pernah mengumumkan tarikh rasmi bagi aksi separuh akhir itu. Jadi, ini bukan pindaan atau penundaan jadual,” katanya, semalam.

Kelmarin, PAFA menerusi presidennya, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan memohon keputusan daripada FMLLP berkenaan rayuan pihaknya untuk mengekalkan tarikh 14 Oktober bagi aksi separuh akhir pertama berdepan Johor DT di Stadium Perak, Ipoh.

Pemain bagi empat pasukan separuh akhir Piala Malaysia terbabit dengan skuad kebangsaan termasuk enam daripada Kedah dan Johor DT, Perak (empat) dan FELDA United (satu).

Ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak yang menganggap tarikh 15 Oktober itu dipilih kerana FMLLP mahu memberi keistimewaan kepada Johor DT, Kevin bagaimanapun menjelaskan tuduhan itu tidak berasas.

“Tiada istilah memberi keistimewaan kepada mana-mana pasukan. Sebelum ini kami menolong banyak pasukan dalam Liga Malaysia termasuk Perak sendiri.

“Contohnya kita sudah tolong PKNP FC, Perak, ATM, dan MISC-MIFA ketika mereka berdepan masalah untuk mendapatkan gelanggang perlawanan.

“Namun, kenapa orang tidak bercakap mengenai FMLLP bertindak berat sebelah terhadap pasukan ini? Tapi orang hanya membuat tuduhan kepada kami apabila membabitkan Johor DT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 8:23 AM