PENYOKONG Perak yang tiba-tiba rebah dipercayai diserang sawan. -Foto ABDULLAH YUSOF
PENYOKONG Perak yang tiba-tiba rebah dipercayai diserang sawan. -Foto ABDULLAH YUSOF
Azizan Hashim

IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengesahkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Perak habis dijual dalam tempoh 40 minit selepas kaunter dibuka.

Setiausaha Agungnya, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, PAFA memperuntukkan 3,500 tiket untuk dijual di stadium berkenaan.

Katanya, jumlah itu sama yang dijual di tujuh lokasi lain iaitu Tanjung Malim, Parit Buntar, Kuala Kangsar, Manjung, Teluk Intan, Lenggong dan Tapah.

“PAFA hanya mendapat 30,000 tiket dan terpaksa diagihkan sama rata kepada penyokong di semua daerah.

“Saya difahamkan ada daerah yang kehabisan tiket. Apapun kena tunggu maklumat daripada semua tempat jualan. Jika ada lebih akan dijual di Stadium Perak,” katanya di sini hari ini.

Tinjauan NSTP di kaunter jualan tiket di Stadium Perak mendapati penyokong menunggu sehingga jam 1 tengah hari selepas pihak PAFA tidak memaklumkan tiket habis dijual.

Rata-rata penyokong meluahkan rasa kecewa dengan tindakan PAFA yang tidak memaklumkan dan menampal sebarang notis pemakluman mengenai tiket berkenaan habis.

Keadaan itu menyebabkan penyokong masih beratur dalam keadaan cuaca panas sehingga mengakibatkan seorang penyokong mengalami sawan dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan lanjut.

HIGUAIN (kanan) berang selepas dilayangkan kad merah. -Foto Reuters
HIGUAIN (kanan) berang selepas dilayangkan kad merah. -Foto Reuters

Sementara itu, mengulas rasa tidak puas hati penyokong Perak yang tidak mengetahui pertukaran lokasi jualan tiket di Manjung, Abdul Aziz berkata, perkara itu sudah dimaklumkan dalam laman sosial Facebook dan radio Perak FM.

“Kami sudah maklum, cuma ia tidak sempat dilakukan dalam media utama kerana kesuntukan masa. Perubahan itu dilakukan atas permintaan pihak di daerah Manjung,” katanya.

Menurutnya, PAFA tidak boleh dipersalahkan berikutan kecelaruan yang berlaku kerana sudah melakukan apa yang perlu.

“Jika maklumat itu tidak sampai kepada awam bukan salah PAFA. Kami sudah maklum,” katanya.

Ada penyokong melahirkan rasa terkilan dan tidak puas hati berikutan penukaran lokasi penjualan tiket yang pada awalnya ditetapkan di Taman Paya Bakau, Lumut, tetapi ditukar ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Seri Manjung.

Berpandukan pemakluman awal PAFA, ada penyokong keluar awal ke Taman Paya Bakau untuk membeli tiket namun kecewa apabila apabila mengetahui perubahan lokasi dan terpaksa bergegas ke Seri Manjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 1:55 PM