Bibiana pengadil wanita pertama dalam bolasepak Jerman. FOTO DAILY MAIL
Bibiana pengadil wanita pertama dalam bolasepak Jerman. FOTO DAILY MAIL
Daily Mail

BIBIANA Steinhaus akan mencipta sejarah bolasepak Jerman, Ahad ini apabila muncul pengadil wanita pertama mengendalikan perlawanan Bundesliga.

Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) semalam mengumumkan pegawai polis berusia 38 tahun itu akan mengendalikan perlawanan Hertha Berlin beraksi di laman sendiri menentang Werder Bremen.

Bibiana turut mengesahkan tempatnya untuk berada dalam kalangan 24 pengadil elit liga negara itu.

“Dia berhak mendapat peluang itu berdasarkan prestasi cemerlang dipamerkannya,” kata jurulatih Bremen Alexander Nouri.

Dia juga adalah anak kepada seorang pengadil dan memulakan kerjaya perlawanan bolasepak wanita untuk DFB pada 1999.

Prestasi cemerlang membolehkannya menjadi pengadil FIFA pada 2005 dan mengadili perlawanan divisyen dua pada 2007 sebelum melakar nama sebagai pengadil wanita pertama dalam bolasepak profesional Jerman.

Bibiana pernah mengadili perlawanan bolasepak wanita Piala Dunia dan Kejohanan Negara Eropah serta aksi final bolasepak wanita Sukan Olimpik 2012 antara Amerika Syarikat dan Jepun.

Jun lalu dia mengendali perlawanan final Liga Juara Juara Eropah wanita antara Lyon dan Paris Saint-Germain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 10:18 PM