GOETZE (kanan) jaring gol penyamaan buat Augsburg. -Foto EPA
GOETZE (kanan) jaring gol penyamaan buat Augsburg. -Foto EPA
AFP

BERLIN: Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich tercicir mata buat kali pertama musim ini apabila pemain Augsburg Felix Goetze menyamakan kedudukan untuk seri 1-1.

Bayern yang sepatutnya memenangi perlawanan di laman sendiri itu dan melebarkan jurang kepada empat mata, dikecewakan oleh gol penyamaan Goetze empat minit sebelum perlawanan berakhir. 

Bagaimanapun Bayern kekal mendahului dengan kelebihan dua mata ke atas pasukan di tempat kedua, Werder Bremen.

Dengan penyerang Robert Lewandowski memanaskan bangku simpanan, pemain senior Arjen Robben membuka jaringan untuk Bayern tiga minit selepas rehat di Arena Allianz hasil hantaran pemain sayap Serge Gnabry.

Franck Ribery, 35, yang menggantikan Gnabry, turut membolosi gawang Augsburg ketika permainan berbaki 10 minit tetapi gol dibatalkan pengadil kerana Thomas Mueller didapati ofsaid.

Ketika permainan hampir tamat, pemain gantian Goetze, yang juga adik kepada bintang Jerman, Mario, membolosi gawang Bayern – kelab yang ditinggalkannya Julai lalu selepas empat tahun berada di Munich.

“Apabila anda berada 1-0 di depan, anda perlu memenangi perlawanan itu,” kata Robben. “Dan gol penyamaan itu bukanlah sepenuhnya tidak layak.”  

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 10:18 AM