BIBIANA STEINHAUS
BIBIANA STEINHAUS
AFP

PENGADIL Jerman, Bibiana Steinhaus menegaskan beliau bukannya perintis perjuangan hak wanita ketika beliau bersiap sedia muncul pengadil wanita pertama liga utama Eropah selepas membuatkan bintang Bayern Munich kagum terhadapnya.

Pengadil berusia 38 tahun itu berada dalam senarai rasmi pengadil Bundesliga bagi musim 2017-18, yang bermula awal pagi Sabtu ini, bermakna beliau akan menjadi pengadil wanita pertama di liga utama Jerman, England, Sepanyol, Perancis atau Itali.

Perlawanan pertama Bibiana dalam Bundesliga belum diumumkan lagi namun beliau sudah mengendalikan aksi Bayern Munich membenam kelab kerdil Chemnitz 5-0 Sabtu lalu pada pusingan pertama Piala Jerman dan membuktikan beliau boleh menangani pemain bintang.

Beliau menumbuk lengan bintang Bayern, Franck Ribery secara berjenaka selepas pemain sayap Perancis itu mengikat tali kasutnya sebelum sepakan percuma.

“Beliau kuat, beliau mempunyai tenaga yang banyak,” kata Ribery.

“Ia menyeronokkan, anda boleh berseronok dengan pengadil tapi penting juga anda menghormatinya.”

Bibiana berkata, kenaikan tarafnya ke Bundesliga satu “insentif hebat” dan satu pulangan hasil kerja kerasnya namun menafikan peranannya sebagai perintis.

“Saya tidak pernah bercadang untuk memecah lembaran baru dalam pembebasan hak wanita,” katanya. “Saya hanya melakukan apa yang saya suka.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 10:20 AM