AKSI  Kimmich (jersi merah) meledak gol kemenangan Bayern. FOTO AFP
AKSI Kimmich (jersi merah) meledak gol kemenangan Bayern. FOTO AFP
AFP

Munich: Bayern Munich meraih gelaran kelima tahun ini selepas jaringan lewat Joshua Kimmich memastikan kemenangan 3-2 ke atas Borussia Dortmund untuk merangkul Piala Super Jerman.

Tuan rumah, Bayern mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi rembatan Corentin Tolisso dan tandukan Thomas Mueller tetapi Erling Braut Haaland menyamakan kedudukan pada awal babak kedua selepas Julian Brandt merapatkan jurang buat Dortmund sejurus sebelum rehat.

Bagaimanapun, Kimmich muncul wira Bayern dalam aksi berlangsung tanpa penonton di Allianz Arena.

Rembatannya ditampan penjaga gol Dortmund, Marwin Hitz tetapi bola muntah itu terkena semula ke but Kimmich dan menerjah jaring lapan minit sebelum tamat perlawanan.

"Joshua pemain tangkas. Tengok cara dia menghasilkan gol," kata kapten Bayern, Manuel Neuer.

Selepas rekod 23 kemenangan berturut-turut lebur di Hoffenheim, Ahad lalu, Bayern kembali bangkit.

"Dia (Kimmich) mempunyai kualiti mengagumkan dan kini di puncak prestasi,'' kata ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick yang pasukannya menjuarai lapan gelaran Bundesliga berturut-turut, Piala Jerman, Liga Juara-Juara dan Piala Super UEFA tahun ini.

Kemenangan mereka awal pagi tadi adalah yang keempat dalam tempoh lima tahun.

Piala Super juga adalah aksi terakhir kendalian pengadil Bundesliga, Bibiana Steinhaus, 41, yang juga pengadil wanita pertama mengadili salah satu liga utama Eropah sebelum bersara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 7:43 AM