FATIN, meraikan kemenangan bersama Ibunya, Sulin Eban, 50, bapanya, Mat Salleh Ayub, 50, dan adiknya, Farah Nurliyana Mat Salleh, 18 di Padang Majlis Sukan Negara, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.
FATIN, meraikan kemenangan bersama Ibunya, Sulin Eban, 50, bapanya, Mat Salleh Ayub, 50, dan adiknya, Farah Nurliyana Mat Salleh, 18 di Padang Majlis Sukan Negara, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.
Mohd Khairie Khalid dan Azlan Muhammad Zain


KEKAL fokus ketika melakukan setiap panahan menjadi azimat buat Fatin Nurfatehah Mat Salleh untuk membantu rakan senegara meraih pingat emas acara compound berpasukan wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), hari ini.

Selain itu, restu daripada ibu bapa sebelum pertandingan memberikan tonik terbaik buat pemanah dari Sabah terbabit menghadiahkan emas kedua buat negara selepas emas pertama dihadiahkan pasukan Chinlone, semalam.

“Sebelum memulakan aksi pada hari ini, saya mendapat restu daripada ibu (Sulin Eban) dan bapa (Mat Salleh Ayub). Setiap pesanan dan kata-kata semangat ketika menghubungi mereka banyak membantu saya.

“Walaupun saya tidak sempat berjumpa dengan ibu bapa sebelum beraksi tetapi mereka datang menyaksikan saya dan rakan sepasukan berjuang, itu yang berikan saya lebih semangat.

“Selain itu, ajaran dan pesanan daripada jurulatih (Mon Redee Sut Txi) yang sudah melatih saya selama 9 tahun sentiasa bersama saya walaupun dia tidak berada di atas padang,” katanya ketika ditemui di padang sintetik Majlis Sukan Negara, hari ini.

Diminta mengulas mengenai aksi final yang penuh mendebarkan bersama dua lagi rakan sepasukan, Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Saritha Cham Nong, Fatin berkata, dia hanya meminta agar dua rakannya itu menikmati perlawanan.

“Peringkat final saya lihat Saritha agak gemuruh dan saya cakap kepada dia agar jangan risau kerana kami ada untuk membantunya.

“Bagi diri saya pula, kalau rasa gementar saya banyak berselawat dan fikir untuk lakukan yang terbaik, InsyaAllah jika ada rezeki ia memang milik kami,” katanya yang menolak kemungkinan KL2017 adalah temasya dwitahunan yang terakhir buatnya.

Pasukan compound wanita negara meraih emas acara berpasukan selepas menundukkan Vietnam menerusi penentuan shoot off selepas kedudukan terikat 225 pada end keempat.

Malaysia memenangi emas selepas berjaya menang tipis dengan keputusan 253-252 apabila pemanah terakhir negara, Saritha melakukan panahan tepat untuk mencipta 10 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 3:34 PM