FATIN akan beraksi di Sukan Sea Hanoi. FOTO Fathil Asri
FATIN akan beraksi di Sukan Sea Hanoi. FOTO Fathil Asri
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemanah berpengalaman negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh mengharapkan pengalaman beraksi pada enam temasya Sukan Sea dapat membantunya membidik emas di Hanoi yang juga mungkin penampilan terakhirnya di temasya dwi tahunan itu.

Fatin, 30, bagaimanapun sedar akan kemampuannya kerana sukar untuk menjangkakan persaingan yang akan di terima pada temasya Sukan Sea Hanoi ekoran penularan Covid-19 yang menyebabkan dia tidak dapat menyertai pertandingan luar.

"Persaingan memang sukar diramal sebab saya tak dapat menyertai pertandingan luar. Setakat ini saya hanya beraksi di tiga kejohanan tempatan saja dan jadi itu sukar untuk jangka prestasi pemanah luar.

"Sebab itu saya harap saya dapat lakukan yang terbaik dan jika berjaya pasti hasilnya akan tiba.

"Ketika ini saya sasarkan penamat podium dulu. Tak kiralah pingat itu warna apa tapi kalau ada rezeki saya mahu dapatkan emas untuk negara," katanya

Selaku pemanah senior, Fatin bertanggungjawab membimbing dua pemanah junior dalam acara compound wanita.

"Sebelum ini ada dua pemanah senior dan satu junior tapi sekarang ini tinggal saya seorang saja. Saya perlu membimbing dua pemanah lain dan harap mereka akan kekal tenang dan mengikut strategi yang dirancang," katanya.

Untuk rekod, Fatin menghadiah pingat perak menerusi acara individu compound wanita pada edisi tiga tahun lalu di Filipina.

Namun dia turut pernah membantu pasukan compound wanita meraih emas bersama-sama Saritha Cham Nong dan Nurul Syazhera Mohd Asmi dan kilauan pingat sama dalam acara berpasukan campuran bersama Mohd Juwaidi Mazuki di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Dia turut membantu skuad memanah meraih emas di Sukan Sea Singapura 2015 dalam acara individu wanita, berpasukan wanita dan berpasukan campuran yang juga pencapaian terbaiknya di sepanjang penyertaannya di Sukan Sea.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 4:07 PM