PEMANAH negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PEMANAH negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Azidan Nahar & Azlan Muhammad Zain


JAKARTA: Kejayaan muncul juara pada siri Piala Dunia 2015 kekal menjadi motivasi terbaik buat pemanah compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh bagi menghadapi Sukan Asia 2018.

Gandingannya bersama Saritha Cham Nong dan Nor Rizah Ishak tidak diletakkan harapan tinggi di Shanghai namun akhirnya muncul juara buat kali pertama dan melakar sejarah untuk negara.

“Ia pencapaian paling manis dalam karier dan saya mengharapkan keajaiban sama berulang di sini apabila pertandingan bermula dalam tempoh dua tiga hari lagi.

“Gandingan sedikit berbeza namun semangat tetap sama. Ketika itu, kami bukan pasukan pilihan namun berjaya melakar kejutan, sama seperti kali ini,” katanya selepas sesi latihan di Lapangan Panahan Gelora Bung Karno, hari ini.

Pada saingan di Jakarta, pemanah kelahiran Sabah itu digandingkan bersama Saritha, Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Sazatul Nadhirah Zakaria.

“Tiada masalah dengan keserasian kerana mereka juga sudah bersama pasukan ini sejak 2016. Apa yang penting memberikan yang terbaik untuk mendapatkan hasil positif.

“Sesi latihan hari pertama berjalan lancar dengan keadaan tidak terlalu berangin. Kami masih ada beberapa sesi untuk menyesuaikan diri,” jelasnya.

Acara compound menawarkan tiga emas menerusi berpasukan wanita, lelaki dan campuran. Pertandingan bermula Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 5:29 PM