Sukhairi Thani


Kuala Lumpur: Prospek emas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Hafifi Mansor menerima nasihat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahu dia menerima kenyataan digugurkan pada saat akhir daripada temasya itu, bulan ini.

Biarpun masih berbekas kekecewaan memandangkan peluangnya meraih emas di KL2017 tampak cerah tanpa kehadiran pencabar utama dari Indonesia, Triyatno (pemenang perak di Sukan Olimpik London 2012 tidak mengambil bahagian kali ini), Hafifi yang beraksi dalam kategori 69 kilogram bagaimanapun meminta sedikit ruang masa bagi menerima kenyataan ‘perit’ dalam kariernya itu.

“Yes (ya) saya (akur),” tulisnya dalam akaun Facebook miliknya malam tadi.

“Bagi saya masa untuk terima semua ini... Dalam masa ada lagi 29 hari, tidak salah memberi peluang untuk saya buktikan. Saya terima semua keputusan ini,” tulis Hafifi dalam akaun laman sosialnya itu.

Hafifi yang meraih emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 mengalami koyak otot sepanjang 15 sentimeter di bahagian paha kiri ketika menjalani latihan di Liaoning, China, Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 12:37 PM