Bekas atlet angkat berat Negara, Hafifi Mansor. FOTO File NSTP
Bekas atlet angkat berat Negara, Hafifi Mansor. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Keberanian dan percubaan yang akhirnya memakan diri sendiri selepas dua atlet angkat berat negara dan salah satunya adalah pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dikhabarkan positif anabolic steroid.

Bekas atlet angkat berat kebangsaan yang pernah beraksi di temasya Olimpik Rio, Hafifi Mansor berkata, hingga sekarang menjadi persoalan mengapa Azroy atau lebih dikenali dengan panggilan Wafie itu mengambil bahan berkenan ketika tiada kejohanan besar akan berlangsung dalam waktu terdekat ini.

Hafifi mengakui terkejut dengan berita itu terutama ketika Wafie menjadi sandaran utama buat negara mempertahankan emas di Sukan Komanwel tahun depan.

"Bagi saya perkara itu tidak sepatutnya terjadi sebab memang tiada kejohanan besar dan mengapa dia perlu mengambil barang itu. Sedangkan dia tinggal di MSN (Majlis Sukan Negara) ramai yang memantau.

"Kalau dia saja-saja ambil benda itu sebenarnya untuk apa? Sekarang ini dia patut salahkan diri sendiri dan tidak perlu salahkan atau cari salah orang lain.

"Dia perlu tanggung akibatnya. Tak perlu salahkan orang lain atau menjadikan alasan ketiadaan jurulatih dari China, Wang Zhi Quan sebagai alasan," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad.

Hafifi yang pernah merangkul emas di temasya Komanwel Glasgow berkata, doping kini bagaikan tidak lari dengan sukan angkat berat.

Ditanya apakah puncanya, Hafifi berkata, mungkin kerana ia menjadi ikutan atlet senior sebelum ini dan juga mudah untuk mendapatkan bekalan bahan terlarang itu.

"Atlet ambil bahan itu mungkin kerana turun temurun. Anggap benda itu boleh membantu untuk cepat kuat bagi angkatan mereka menyerlah.

"Tambahan pula sekarang ini, mudah sangat untuk di dapati, boleh saja di beli secara atas talian. Tapi macam saya dulu, saya tak tahu bagaimana bahan itu berada dalam badan saya," katanya.

Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menerusi laporan Arena Metro berkata kedua-dua atlet berkenaan digantung daripada sebarang aktiviti, latihan dan kegiatan sukan angkat berat Malaysia sehingga proses pendengaran dan hukuman dijalankan.

Jika disabit kesalahan mereka bakal dikenakan hukuman penggantungan maksimum empat tahun.

PABM pada 2018 mengenakan hukuman penggantungan selama tiga tahun kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, Hafifi serta penggantungan empat tahun kepada Mohamad Fazrul Azrie Mohdad, Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhammad Zaidi Nordin dan Ronny Jesus kerana positif doping.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:42 PM