Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad angkat berat negara berpeluang menamatkan kemarau emas andai Hafifi Mansor (gambar) disahkan bertanding di temasya Sukan SEA bulan depan.

Berita itu dikukuhkan dengan laporan atlet Indonesia yang beraksi di temasya Olimpik Rio, Triyanto tidak akan mengambil bahagian.

“Triyanto dan Tairat Bunsuk (Thailand) antara pencabar utama saya. Apabila Triyanto dilaporkan tidak akan menyertai temasya kali ini kerana masalah dengan jurulatihnya peluang untuk meraih emas lebih terbuka.

“Jika benar seperti dimaklumkan, saingan untuk merebut emas kini hanya membabitkan saya dan Bunsuk,” kata Hafifi yang masih menunggu lampu hijau daripada Institut Sukan Negara (ISN) selepas menjalani proses pemulihan.

Apapun pemenang emas temasya Komanwel 2014 Glasgow itu terpaksa menunggu sehingga 23 Ogos depan untuk mengetahui nasibnya sebelum acaranya berlangsung 29 Ogos.

Namun Hafifi mengakui, dia tidak pernah patah semangat dan jika boleh mahu secepat mungkin berlatih kerana menganggap perjuangannya belum selesai.

Hafifi berkata, dia sudah mula menjalani latihan ringan sebelum berlepas semula ke China, 29 Julai ini.

Mengulas mengenai kecederaannya, Hafifi mengakui proses pemulihannya berjalan pantas (hanya mengambil masa tiga minggu) biarpun sebelum ini doktor memaklumkan memerlukan sekurang-sekurang enam minggu untuk sembuh.

“Apa yang penting sekarang saya perlu mengelak daripada mengalami kecederaan di tempat sama.

“Doktor sudah melakukan pemeriksaan dan keputusannya bergantung kepada pegawai yang mengendalikan sesi fisioterapi,” katanya.

Pemegang rekod kebangsaan itu mengalami kecederaan otot paha ketika cuba mengangkat bebanan 190kg sewatku menjalani latihan di China bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 5:13 AM