BEKAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman melihat atlet angkat berat Hafifi Mansor menjalani latihan di GYM Cikgu Razif di Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Nerus. Foto NSTP/IMRAN MAKHZAN.
BEKAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman melihat atlet angkat berat Hafifi Mansor menjalani latihan di GYM Cikgu Razif di Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Nerus. Foto NSTP/IMRAN MAKHZAN.
Sukhairi Thani


SEBUAH gimnasium cetusan idea atlet angkat berat, Hafifi Mansor yang dibuka di Seberang Takir, Kuala Terengganu kini dibuka untuk kegunaan rakyat tempatan yang mahu meningkatkan kecergasan.

Hafifi berkata, penggunaan gimnasium yang ditaja PETRONAS itu turut mengalu-alukan pembabitan Majlis Sukan Negeri untuk menggunakan kemudahan berkenaan sebagai pusat latihan buat atlet angkat berat Terengganu.

“Gimnasium ini adalah tajaan PETRONAS,” kata Hafifi yang pernah meraih pingat emas di temasya Komanwel Glasgow 2014. “Saya juga mempunyai perancangan selepas ini untuk menubuhkan sebuah kelab untuk angkat berat.

“Saya mengalu-alukan Majlis Sukan Negeri untuk memberi sokongan kepada gimnasium ini bagi menjadikan tempat latihan sukan angkat berat di negeri ini dan membantu saya bagi menubuhkan sebuah kelab di sini.

“Pada 1 Ogos ini, saya akan berbincang dengan pegawai daripada PETRONAS untuk cadangan penubuhan Kelab Angkat Berat PETRONAS.

“Gimnasium ini adalah untuk kemudahan orang ramai di Terengganu khususnya di Seberang Takir selain ia juga boleh dimanfaatkan oleh atlet remaja Terengganu untuk berlatih di sini.

“Jadi, saya mengharapkan Majlis Sukan Negeri dapat mengambil berat mengenai perkara ini apatah lagi saya juga mahu berkhidmat kepada negeri sendiri.”

Hafifi berkata, idea ini mula tercetus selepas Sukan Olimpik Brazil 2016 dengan bantuan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 7:33 PM